SOP ketat sidang Dun Kelantan minggu depan

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang dijadualkan pada Isnin depan akan diteruskan seperti ditetapkan sebelum ini kata Speaker DUN Kelantan Dato’ Abdullah Ya’kub.

Beliau berkata, kedudukan kerajaan negeri tidak terjejas biarpun kabinet kerajaan Persekutuan dibubarkan susulan perletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri semalam.

Katanya, persidangan itu bagaimanapun bakal dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat bagi membendung penularan Covid-19.

- Advertisement -

“Selain itu kesemua Adun perlu menjalani ujian saringan wabak Covid-19,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Baru-baru ini Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dilapor memberitahu terdapat 85 kes positif berkaitan sidang khas Parlimen baru-baru ini.

Penularan tersebut termasuk 56 kes yang dikesan ketika saringan sebelum sidang dan 17 kes semasa sidang.

Malah hasil siasatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati besar kemungkinan perkongsian kemudahan asas seperti tandas dan surau oleh ramai individu memberi risiko penularan jangkitan Covid-19 di Parlimen.

Abdullah juga berkata, SOP lebih ketat di persidangan Dun bagi memastikan mereka yang terlibat tidak membawa sebarang jangkitan.

Selain itu tidak membenarkan mereka yang mempunyai gejala untuk berada di dalam Dewan bagi membendung berlaku penularan jangkitan wabak Covid-19.

Persidangan DUN Kelantan yang berlangsung selama tiga hari itu akan dijalankan secara bersemuka di Kompleks Kota Darulnaim bermula 23 Ogos ini. – HARAKAHDAILY 17/82/2021

- Advertisement -