Oleh ABI FATHULLAH ABE
BERJAYA mereka pecahkan kesatuan ummah dan perpaduan nasional yang dibina Perikatan Nasional (PN) bagi mengatasi kemelut politik dan perpaduan yang berlaku di zaman Pakatan Harapan (PH).
Ketika PH memerintah, isu perpaduan amat meruncing malah menjadi satu titik bengit yang mencalar perpaduan yang dibina sejak sekian lama.
Benteng perpaduan roboh satu persatu angkara kebebasan suara dan keceluparan pemimpin PH khasnya beberapa anggota Parlimen PH yang acap kali mempertikai kedudukan Islam, hak keistimewaan Melayu, malah hingga ke tahap menghina Raja-Raja Melayu.
Tidak cukup dengan itu, mereka menggunakan kesempatan kuasa 22 bulan dengan pelbagai durjana termasuk membawa idealisme komunis, menghalalkan abu mayat Chin Peng masuk ke negara ini dan paling melukakan mereka berusaha mengurangkan kelompok penjawat awam selain campurtangan dalam institusi membabitkan kepentingan Melayu Islam seperti Tabung Haji.
Derita 22 bulan terubat bila mana Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dengan kerjasama rakan PAS, Bersatu, GPS dan beberapa yang lain sanggup menyelesaikan kemelut dengan menubuhkan kerajaan dengan membawa sinar baharu.
Mendepani pandemik Covid-19 dengan amat-amat berusaha keras mengatasinya, memberi kebajikan kepada rakyat dengan pelbagai pakej bantuan.
Undur bukan tanda kalah, rakyat semakin sayang
Namun tanggal 16 Ogos 2021 amat menyedihkan, ketika rakyat sebilangan besarnya mahu TSMY@Abah meneruskan memacu negara, tetapi angkara perebutan kuasa dan tekanan yang amat dahsyat daripada pembangkang dan sebilangan kecil mereka yang ‘tamak’ kuasa akhirnya kerajaan PN yang terbina atas asas kebajikan untuk rakyat terkubur.
Muhyiddin melepaskan jawatannya selaku PM dengan keadaan paling tenang dan seluruh anggota kabinetnya juga tidak bertindak sembarangan malah berundur dengan tenang dan meninggalkan legasi kerja serta khidmat yang amat terbaik buat rakyat.
Walaupun beliau menjadi PM caretaker buat sementara dalam keadaan negara pandemik Covid-19, ketenangan beliau mendepani ujian ini amat memberi inspirasi kepada rakyat jembel.
Ketika berundur, negara sudah mencapai hampir 50 peratus golongan dewasa mengambil dua dos lengkap vaksin dan hampir 80 peratus satu dos, di samping beberapa negeri sudah mencapai imuniti kelompok 80 peratus, sementara kemasukan kes ICU hospital telah amat berkurangan.
Ini jasa terbesar selain kebajikan kepada rakyat yang amat memerlukan ketika pandemik Covid-19 mengakibatkan ramai kehilangan kerja dan pendapatan.
Di ruangan media sosial, ramai dalam kalangan rakyat (bukan fake atau RBA) meratapi pengunduran Abah yang bagi mereka adalah PM terbaik setakat ini yang mereka dapat.
Pun begitu, benar seperti kata Dato’ Seri Takiyudin Hassan bahawa pengunduran adalah satu keputusan bersama bukan kerana gagal tetapi kerana secara terhormat dan selepas berusaha keras mendepani pandemik Covid-19 serta polemik politik yang berlaku.
Pada penulis, untuk sekian kalinya kita merasai bagaimana suatu masa lalu Kita sedih dengan pengunduran Tun Abdullah Ahmad Badawi, seorang pemimpin yang baik, dan kini Abah juga senasib dengan Tun Abdullah.
Jasa Abah cukup besar dan akan jadi benchmark kepada siapa PM selepas ini menggantikan beliau pastinya akan dibuat perbandingan oleh rakyat.
Dan paling menyedihkan ketika ini ada kelompok manusia yang sedang bertepuk tangan kerana mampu mengusik dan menjatuhkan sebuah kerajaan yang di dalamnya acuan Perpaduan Ummah dan Perpaduan Nasional..
Pastinya kelompok ultra kiasu sedang bergembira melihat ada pemimpin Melayu yang jua menjadi penyebab jatuhnya kerajaan PN hari ini. – HARAKAHDAILY 17/8/2021