PAS sambut baik saranan Agong

Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS menyambut baik saranan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar keutamaan kesejahteraan negara dan rakyat perlu diberi keutamaan.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ia sehinggalah keadaan mengizinkan untuk diadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurutnya, beliau mewakili PAS diterima mengadap Yang di-Pertuan Agong bersama dengan parti Bersatu, Umno, Pejuang, Warisan, Amanah, DAP dan PKR.

- Advertisement -

“Tuanku mohon kerjasama semua pimpinan parti untuk wujudkan keharmonian dan ketenteraman dan memberi fokus kepada isu kesihatan serta ancaman Covid-19, keadaan ekononi rakyat dan negara,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau menambah, Yang di-Pertuan Agong juga menjelaskan proses pelantikan perdana menteri yang akan dilaksanakan baginda melalui akuan bersumpah (SD) setiap ahli Parlimen yang perlu diserahkan sebelum jam 4.00 petang esok.

Katanya lagi, pengesahan oleh setiap ahli Parlimen akan diminta setelah ada yang mempunyai majoriti bagi mengesahkannya.

“Saya suka maklumkan bahawa PAS telah bersedia dengan SD semua ahli Parlimen parti untuk dipersembahkan kepada baginda,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Beliau juga menyeru semua pihak bertenang dan mengutamakan kesihatan diri, keluarga dan semua pihak.

“Dan yakin atas kebijaksanaan baginda, kemelut ini akan dapat diatasi dengan jayanya,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 17/8/2021

- Advertisement -