Berkhidmat untuk rakyat agenda utama Perikatan Nasional

- Advertisement -

PUTRAJAYA: Berkhidmat untuk rakyat kekal menjadi agenda utama dalam perjuangan Perikatan Nasional (PN) dan tumpuan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang yakin masyarakat masih memerlukan pembelaan dalam suasana pandemik Covid-19 yang belum berakhir.

“Itulah caranya. Itu yang kami akan lakukan pada masa depan. Berkhidmat untuk rakyat adalah agenda kami,” kata beliau.

Setelah tidak lagi menjadi perdana menteri, Muhyiddin berkata tumpuan sepenuhnya akan diberi kepada parti Bersatu yang diterajuinya dan rakan-rakan dalam PN untuk terus berkhidmat kepada rakyat.

“Sekarang saya ada banyak masa. Apa nak buat?… Tumpuan saya pada parti dan rakan-rakan Perikatan Nasional,” katanya kepada editor-editor kanan selepas mengumumkan peletakan jawatan sebagai perdana menteri di sini semalam.

- Advertisement -

“Insya-Allah, jika rakyat dah lihat kad laporan kita setahun ini baik, mereka rasa selesa nak tengok muka Abah balik, sampai masa pilihan raya kita serah balik kepada rakyat untuk pertimbangkan, yang pasti saya ada banyak masa,” katanya.

Beliau kini menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri sementara atas perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Muhyiddin berkata beliau yakin rakyat sudah melihat bahawa PN sebuah kerajaan yang betul-betul prihatin kepada rakyat.

“Kami telah diuji, kami membuktikan telah berjaya melakukannya dan kita boleh melakukannya dengan lebih baik pada masa depan. Saya bukan nak mendabik dada… kawan-kawan saya setakat hari ini semuanya tanpa berkecuali kata kami akan bersama semasa susah dan senang, berenang atau tenggelam bersama-sama, erti kata meneruskan perjuangan kita,” katanya.

Semasa menzahirkan penghargaan atas sokongan mereka, Muhyiddin berkata itu menunjukkan semangat pimpinan dalam PN untuk terus kekal selain menunjukkan kekuatan parti dengan bilangan parti yang sudah menganggotai PN semakin ramai.

“Ini umpama kebangkitan semula kegemilangan kerajaan BN (Barisan Nasional) suatu ketika dulu yang mewakili semua kaum kini berada dalam PN… kami tidak hanya berkhidmat untuk orang Melayu, kami berkhidmat untuk semua. Saya tidak kata jika kamu orang Cina… tidak ada vaksin untuk kamu, kamu orang India tidak ada makanan untuk kamu. Kami tidak pernah buat begitu,” kata beliau.

Muhyiddin berkata semasa mesyuarat Jemaah Menteri juga mereka tidak pernah berbincang mengenai kepentingan kaum.

“Tidak pernah. Boleh tanya dengan dia (Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong dan Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M. Saravanan). Kita bincang nasib rakyat bukan nak tolong nak cari hanya orang Melayu sahaja. mana boleh atau orang Cina sahaja… tak boleh, tak kan orang Melayu sahaja yang nak hidup, orang Cina, India dan orang asli semua mahu hidup,” katanya.

Muhyiddin berkata beliau kini boleh membuktikan bahawa PN adalah gabungan parti politik untuk semua kaum. – BERNAMA

- Advertisement -