Kerajaan PN berada posisi terbaik bantu rakyat

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Buat masa ini tiada rasional untuk menukar kerajaan ketika pandemik Covid-19 masih lagi menakutkan dengan kes harian lebih 20,000.

Ini memandangkan banyak usaha dan perancangan kerajaan bagi menangani wabak tersebut dan memulih semula ekonomi akan terbantut.

Ahli Majlis Pimpinan Bersatu Pusat Dato’ Mohamed Farid Mohamed Zawawi berkata, tumpuan semua pihak sekarang sepatutnya membantu kerajaan bagi menghadapi wabak tersebut.

- Advertisement -

Katanya, kerajaan Perikatan Nasional (PN) sudah berusaha sebaik mungkin menghadapi situasi tersebut sehingga lapan kali menawarkan pakej rangsangan bagi membantu rakyat dan sektor yang terjejas.

“Kerajaan yang ada sekarang boleh dikatakan berada pada posisi terbaik dalam usaha membantu rakyat.

“Sepatutnya kita turut bersama perkukuhkan semula keadaan ekonomi, kesihatan dan sosial rakyat,” katanya selepas majlis penyampaian bakul makanan kepada golongan kurang bernasib baik di Berek 12, di sini semalam.

Menurutnya juga pemimpin seharusnya berfikiran rasional dan pihak berkepentingan tidak perlu terdesak untuk menguasai pentadbiran negara ketika negara masih diancam pandemik Covid-19.

Sebaliknya kata beliau semua pihak termasuk pembangkang perlu memberi fokus demi memastikan kebajikan rakyat tidak terpinggir.

“Buat masa ini ramai rakyat terkesan sehingga ada yang hilang punca pendapatan. Ini kerana negara masih berperang dengan pandemik Covid-19.

“Sebaliknya ada ahli politik masih sibuk berpolitik. Kita bimbang apabila kita (ahli politik) mementingkan agenda peribadi dan kuasa akhirnya rakyar akan tercicir.

“Maka kita harus ketepikan fahaman politik berlainan dan tumpukan kepada masalah rakyat,” katanya yang juga Ketua Bersatu Bahagian Kota Bharu.

Terdahulu beliau menyampaikan sumbangan Bakul Prihatin kepada penduduk yang terjejas merangkumi barangan keperluan harian.

Mohamed Farid juga berkata, Bersatu sentiasa prihatin terhadap masalah rakyat dan menyalurkan bantuan bakul makanan kepada golongan terjejas.

“Dalam keadaan pendemik khususnya, kita turun padang bagi menyantuni rakyat dan penduduk yang hilang sumber pendapatan dan pekerjaan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 16/8/2021

- Advertisement -