MOVAK di SJKT Ladang Victoria dapat sambutan

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

PADANG SERAI:
Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Victoria, berjalan dengan lancar dan mendapat sambutan menggalakkan.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Insan, Pembasmian Kemiskinan dan Kesejahteraan Masyarakat negeri, Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali berkata beliau berpuashati dengan kerjasama semua yang terlibat menjalankan proses vaksinasi berkenaan.

- Advertisement -

“Alhamdulillah, program berjalan lancar dan usaha ini diharapkan dapat membantu meningkatkan vaksinasi di Kedah,” ujar beliau ketika lawatan kerja ke sana, semalam.

Berikutan itu, kira-kira 300 orang penduduk berdekatan menerima suntikan vaksin Covid-19 sepanjang program itu berlangsung semalam.

MOVAK di SKJT Ladang Victoria itu antara usaha kerjasama Pejabat Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Daerah Kulim dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) terbabit.

“Saya mengharapkan program seumpama ini dapat diadakan di lokasi lain juga agar memberi peluang kepada mereka yang sukar untuk keluar ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mendapat suntikan imunisasi ini dengan segera,” tambahnya lagi.

Sempena lawatan itu, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada para petugas dan sukarelawan.

Turut hadir Exco kerajaan negeri, Dr Robert Ling Kui Ei dan Azman Nasrudin serta diiringi Pegawai Perpaduan Daerah Kulim, Arisyawati Alaudin, Penghulu mukim Sidam dan Naga Lilit serta para sukarelawan Pejabat Perpaduan Negara. – HARAKAHDAILY 15/8/2021

- Advertisement -