Bantuan diagih kepada penduduk PKPD Jengka 18

- Advertisement -

KUALA KRAU: ADUN Jengka, Ustaz Shahril Azman Abdul Halim telah menyumbangkan 1,000 bungkus ayam segar untuk penduduk yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di FELDA Jengka 18, di sini semalam.

Manakala Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Krau, Ustaz Kamal Ashaari pula menyumbangkan 800 bungkus sayur-sayuran di mana sesi serahan barangan makanan itu turut dihadiri Pengerusi Pertubuhan Sheikha Lubna, Rohaya Razali.

Urusan berkaitan telah dikelolakan bersama oleh PAS Cawangan Jengka 18, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) serta FELDA Jengka 18 yang membentuk Urusetia Bantuan COVID-19 Jengka 18.

Mereka telah membuat penyelarasan pengagihan bekalan makanan ini kepada 759 rumah kediaman dalam PKPD itu menerusi Naib Pengerusi JKKR Jengka 18, Samad Samah dibantu Ketua Urusetia, Sukeran Yusoff.

Sementara Ketua Bahagian Penghantaran Urusetia, Abu Samah Hamid memimpin 30 petugas yang berperanan memastikan sumbangan tersebut diterima seawal mungkin oleh penduduk bagi kegunaan makan tengah hari.

- Advertisement -

Menurut Ustaz Shahril, sumbangan tersebut sebagai meringankan beban para penduduk tersebut dan memenuhi keperluan harian mereka yang terpaksa berkurung oleh sekatan dikenakan tersebut.

“Kita akan pastikan semua penduduk FELDA Jengka 18 mendapat semua bekalan ini. Kita berharap semoga bantuan ini dapat membantu mereka yang terkesan dengan PKPD yang dikenakan.

“Di samping itu penduduk disarankan dapat menjaga SOP (prosedur operasi standard) bagi mengawal penularan jangkitan COVID-19 ini,” ujar beliau yang komited memastikan keperluan asas penduduk dapat disediakan sewajarnya.

Dalam pada itu, Pengerusi Urusetia Bantuan COVID-19 Jengka 18, Kamaruzaman Jaafar menzahirkan penghargaan kepada Ustaz Shahril atas sumbangan kerana prihatin atas situasi dihadapi penduduk berkenaan. – HARAKAHDAILY 15/8/2021

- Advertisement -