Pelan Pemulihan Negara perlu sokongan semua pihak

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS menyambut baik dan menyokong penuh titah Raja-Raja Melayu yang menyeru seluruh rakyat Malaysia terutama pemimpin parti politik memelihara kestabilan serta perpaduan negara.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing dalam usaha untuk menjayakan Pelan Pemulihan Negara yang merupakan exit strategy daripada wabak berjangkit Covid-19.

“Negara kini berhadapan dengan keadaan pandemik yang tak pernah berlaku dlm sejarah negara.

“Ia memerlukan penggembelengan semua pihak dalam menjayakan apa yang dirancang oleh kerajaan.

- Advertisement -

“Pelan Pemulihan Negara adalah langkah tepat. Dalam situasi begini, amat malang bila ada pihak yang menggugat kestabilan negara,” ujarnya kepada HarakahDaily, semalam.

Justeru, beliau mengingatkan semua pihak, khususnya pemimpin politik supaya menumpukan seluruh tenaga kepada usaha mengurus ketidakseimbangan sosioekonomi masyarakat ketika penularan Covid-19 semakin membimbangkan

“Kita harap semua pihak mengambil perhatian serius terhadap kestabilan dan kemakmuran menjelang Sambutan Kemerdekaan Negara yang ke-64 hujung bulan ini,” katanya yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air.

Sebelum ini, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar Shah menzahirkan kekecewaan baginda dengan sikap segelintir pemimpin yang menggangggu kerajaan dan berebut kuasa ketika negara berdepan ancaman Covid-19.

Sehubungan itu baginda tidak akan teragak-agak untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor jika berlaku keadaan yang menjatuhkan kerajaan baginda sekarang.

Baginda turut bertitah menasihatkan semua Ahli Dewan supaya menggunakan sesi persidangan kali ini untuk berbincang dan menyusun pelan tindakan bagi menolong rakyat dan membangunkan semula ekonomi Johor.

Di samping itu, baginda mengingatkan bahawa Dewan Negeri adalah tempat untuk berbincang dan membuat ketetapan bagi kepentingan rakyat serta negeri Johor.

Dalam pada itu, baginda turut mengingatkan untuk bersatu dan bekerjasama antara satu sama lain dan tidak menuding jari sesama sendiri dalam menangani permasalahan.

Dalam perkembangan yang sama, Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah turut menyeru rakyat bersatu dan bekerjasama mencari penyelesaian terbaik dalam menangani pandemik Covid-19. – HARAKAHDAILY 13/8/2021

- Advertisement -