Krisis air Terengganu pulih lebih awal – Dr Samsuri

Exco Dr Mamad (dua kiri) menjelaskan sesuatu tentang Tangki Utama Berangan kepada Dr Samsuri.
- Advertisement -

Oleh KHAIRUL AZLAM MOHAMAD

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu mengesahkan krisis bekalan air yang terjejas sejak 12 hari lalu akan pulih sepenuhnya esok, 14 Ogos 2021 dua hari lebih awal dari jangkaan sebelum ini 16 Ogos.

Berita baik itu diumumkan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar tentang progres terkini status bekalan air yang melibatkan jajaran Tangki Utama Berangan, di Bukit Berangan, Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh, Kuala Nerus.

Katanya, setelah memasuki hari ke-12 ‘Krisis Air Berangan’ yang melibatkan enam DUN di Kuala Nerus dan Kuala Terengganu akan berakhir pada 14 Ogos ini.

“Ini (gangguan) melibatkan 28,700 akaun pengguna Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU), dan kerja-kerja pembaikian paip pecah dasar Sungai Terengganu telah dapat disiapkan dua hari lebih awal daripada jadual asalnya (16 Ogos).

“Bekalan air telah mula disalurkan pada hari ini, 13 Ogos 2021 bermula jam 12.00 tengahari tadi secara berperingkat-peringkat dan dijangka pulih 100 peratus sepenuhnya pada esok, 14 Ogos 2021, Insya’Allah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Media bagi liputan terkini berkaitan Krisis Air Berangan yang melibatkan daerah Kuala Nerus dan Kuala Terengganu, di perkarangan Loji Tangki Air Bukit Berangan, Tepoh, di sini, hari ini.

Hadir sama dalam sidang media itu, Pengerusi Jawtankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh, Ahli Lembaga Pengarah SATU Sdn Bhd, Burhanuddin Helmi Mohamed, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Ustaz Hishamuddin Abdul Karim dan Pegawai Daerah Kuala Nerus, Faris Abdul Razak.

Menurut Menteri Besar itu, bagi memastikan masalah berkenaan tidak berulang di masa akan datang beberapa langkah susulan akan diperkemaskan dan ditambah baik.

“Pertama, memastikan progress pembinaan Loji Bukit Berapit dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan atau lebih awal, yang mana jangkaan projek itu siap adalah pada Mei 2022.

“Kedua, memastikan orang awam dan penggiat ekonomi mendapat maklum berkaitan kewujudan kewujudan paip di dasar sungai atau laut, pihak SATU akan bekerjasama dengan pihak-pihak berwajib membuat penanda bagi memudahkan pengesanan kewujudan jajaran paip di dasar sungai atau laut,” jelasnya.

Sehubungan itu, kata Dr Samsuri bahawa selain paip ke tangki air Berangan yang dibina di dasar Sungai Terengganu ini terdapat 10 lagi jajaran paip lain yang dibina di dasar sungai atau laut di seluruh negeri ini.

“Paip ke Pulau Redang di Setiu sepanjang 27 kilometer jenis paip 355 HDPE. Paip ke Pulau Perhentian, Besut sepanjang 17 kilometer (jenis paip 355 HDPE). Paip ke Pusat Bandar di Kuala Ibai, Kuala Terengganu sepanjang 0.17 kilometer (jenis paip 500 MS) dan Paip ke bandar KTCC, Seberang Takir, Kuala Nerus.

Menurutnya, SATU akan memperkemaskan pemeriksaan berkala bagi kesemua paip-paip yang terlibat terutamanya yang berada di jajaran dasar sungai atau laut.

Selain itu, turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman, ADUN Buluh Gading, Ustaz Ridzuan Hashim, Pegawai Penyelaras DUN Batu Rakit, Ustaz Mohd Syafizi Ismail dan Setiausaha Politik Menteri Besar Terengganu, Muhyiddin Abdul Rashid.

Tambah beliau, pembentukan Jawatankuasa Khas diketuai Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) telah dibentuk bagi menyiasat punca kerosakan paip dasar Sungai Terengganu ke paip utama Tangki Air Berangan, Tepoh.

Harakah difahamkan, aktiviti mengorek pasir di kawasan berdekatan paip bocor itu telah dihentikan buat sementara waktu ini sehingga mendapat laporan penuh jawatankuasa khas siasatan tersebut. – HARAKAHDAILY 13/8/2021

- Advertisement -