Ketegasan PM, tawaran dan persefahaman

- Advertisement -

TEGAS dan bernada kompromi dengan mereka yang benar-benar komited bersama membantu kerajaan mengatasi pandemik Covid-19 dan menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin sebentar tadi pada hemat penulis seolah-olah membuka satu lagi lembaran baharu dalam usaha kerajaan menstabilkan gelombang politik yang sedang tidak menentu sifatnya ketika ini.

Apatah lagi di pihak PH acap sangat menggunakan doktrin ‘Kerajaan Gagal’ dan sudah ke siling tahap tekanan diberikan kepada PM sejak pelaksanaan Ordinan Darurat dan membawa kepada Sidang Khas Parlimen baru-baru ini.

- Advertisement -

Klimaks kepada tekanan ini beberapa ahli Parlimen yang sebelum ini menyokong kerajaan berpaling tadah untuk menarik sokongan kepada PM dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) hingga pembangkang yang sebelum ini ‘buntu’ idea untuk mendobrak kerajaan PN semacam mendapat satu nyawa untuk melancarkan serangan semula.

Pun begitu, dengan pengumuman kira-kira tujuh tawaran jika sokongan usul undi percaya bipartisan jika diperolehi, maka ia semacam satu azimat baharu yang melegakan sedikit sebanyak tekanan yang dihadapi.

Antara cadangan sokongan bipartisan di Parlimen termasuk peruntukan sama rata kepada semua ahli Parlimen tanpa mengira parti.

Penambahan siling kepada RM110 billion untuk mendepani krisis Covid-19. Termasuk bantuan tunai kepada 11 juta penerima bernilai RM10 billion untuk B40 dan M40.

Rang Undang-undang Anti Lompat Parti dan pembentangan Rang Undang-undang dua penggal maksimum untuk jawatan PM.

Selain itu akan diwujudkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen lebih seimbang dengan lebih ramai ahli pembangkang 50 peratus keanggotaan kepada pembangkang.

Sementara PM juga mengumumkan undi 18 akan dilaksana tanpa perlu tunggu pendaftaran automatik pemilih.

Beliau juga memaklumkan bahawa semua Rang Undang-undang akan dirunding dahulu dengan ahli Parlimen.

Paling menarik beliau juga mengumumkan bahawa Ketua Pembangkang bertaraf Menteri Kanan dengan saraan yang sama.

Sementara PM mengumumkan akujanji bahawa mandat memilih kerajaan akan diserahkan kepada rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-15 yang bakal diadakan selewat-lewatnya hujung Julai 2021.

Ketegasan PM dalam memastikan kerajaan ini terus ditadbir dengan baik tanpa menyerahkan kepada kelompok yang digelar kleptokrasi amat mengujakan, malah rakyat di luar sana amat berharap isu-isu rasuah yang membelenggu kerajaan terdahulu tidak lagi berlaku selepas ini.

Pengumuman sebentar tadi memberi gambaran jelas bahawa kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin benar-benar mahu negara ini kembali stabil dan dapat memfokuskan kepada usaha mengatasi pandemik Covid-19 selain menghentikan sebarang bentuk percubaan membawa negara kepada keparahan politik. – HARAKAHDAILY 13/8/2021

- Advertisement -