SEJARAH
Populisme adalah satu fahaman yang melonggarkan pemikiran daripada sebarang ikatan ideologi. Fahaman ini sedang subur diterap dalam suasana demokrasi hari ini. Kemunculan ini boleh dilihat melalui gambaran Deniell Bell pada 1960 yang menggambarkan bahawa masa depan politik dunia semakin kompleks, dan akhirnya ideologi yang didukungi itu menjadi sebagai satu bebanan.
Lalu pada 1969, Ghita Ionescu dan Ernest Gellner menggambarkan bahawa dunia sedang terarah kepada Populisme. Pada 2016, Werner Muller turut menghuraikan ideologi ini secara realiti, apatah lagi Amerika ketika itu dimenangi oleh watak politikus populis, Donald Trump. Dr Moffitt pula menyatakan bahawa pimpinan Populisme biasanya berkelakuan buruk.
Secara umumnya, ia adalah kesan daripada kehanyutan dalam politik demokrasi. Iaitu melahirkan politikus yang tidak berpaksikan kepada satu ideologi yang solid, akan tetapi berlakon-lakon semata-mata untuk mengikut kehendak majoriti masyarakat, sekalipun melanggar ideologi pegangannya.
Gejala
Politikus yang membawa penyakit Populisme lebih tertumpu kepada gimik dan berjanji luar daripada kemampuan kerana hanya inginkan sokongan, bukannya untuk laksanakan janjinya itu. Mereka gemar memainkan sentimen, atau emosi masyarakat agar ia dijadikan kayu ukur kebenaran. Kesannya, masyarakat akan hilang daya rasional, teralih ke arah emosi dalam bertindak.
Dunia Islam juga tidak terhindar daripada wabak Populisme ini. Gerakan-gerakan Islam yang terlibat dalam dunia demokrasi antara yang terdedah dengan penyakit ini. Amilin gerakan Islam yang terjangkit wabak Populisme cenderung membawa sifat seperti menipu, membawa kepalsuan, memanipulasi harapan masyarakat dan sebagainya.
Akibatnya, sikap pragmatik mula menjadi subur, dan menjadi normal. Pragmatik boleh difahami dengan ‘makan keliling’ dalam keadaan berubah-ubah watak. Kesannya memperlihatkan Gerakan Islam seolah-olah tidak bermoral, tidak konsisten dan hanya mengutamakan gimik. Akhirnya ia mengikis kepercayaan masyarakat terhadap usaha menegakkan Islam.
Pertarungan Realisme
Kita perlu sedar, situasi sekarang, kita sangat teruji, sama ada untuk terus mempertahankan prinsip, atau tercair dengan mainan Realisme. Realisme mengikut acuan Machiavelli (The Prince) tidak mengutamakan moral. Sebaliknya mengutamakan kuasa. Biar menipu pun, asal dapat kuasa.
Dalam situasi politikus yang sedang terhanyut ini, Gerakan Islam perlu pertahankan prinsip, dan tidak tercair atau tidak larut dengan rentak Realisme ini. Ya, nak pertahankan prinsip di kala pertarungan hebat petarung-petarung Realisme bukanlah senang.
Nabi S.A.W bersabda:
يَأْتِى عَلَى النَّاسِ زَمَانٌ الصَّابِرُ فِيهِمْ عَلَى دِينِهِ كَالْقَابِضِ عَلَى الْجَمْرِ
“Akan datang kepada manusia suatu zaman, orang yang berpegang teguh pada agamanya seperti orang yang menggenggam bara api.”
Kita perlu sedar, kepercayaan umat adalah penting untuk mengketengahkan idea-idea Islam. Sekalipun idea itu menarik, tetapi apabila terhakisnya kepercayaan, umat akan melihat pejuang di medan demokrasi hanya sekadar ‘sembang gajah terbang’. Slogan dan laungan akan dihukum hipokrit oleh mereka.
Di awal kehidupan Nabi S.A.W, Baginda digelar dengan ‘al-Amin’, yang boleh dipercayai. Karakter seperti ini perlu ada pada gerakan Islam. Watak ini juga tidak boleh dibuat-buat atau dilakonkan, sebaliknya ia adalah akhlak yang sudah tersebati.
Jalan keluar
Jiwa manusia sebenarnya bertentang dengan Realisme. Ia dianggap satu penipuan. Jiwa manusia inginkan kejujuran bukan lakonan dan inginkan kesungguhan bukan bermain-main. Biarlah petarung-petarung Realisme merebut piala mereka, kita jadilah kita!
Kita perlu sedar bahawa untuk selamat di zaman penipuan yang disulam dengan Populisme adalah dengan kejujuran.
Allah S.W.T berfirman:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَكُونُوا مَعَ الصَّادِقِينَ
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah, dan hendaklah kamu berada bersama-sama orang-orang yang jujur.”
(at-Taubah: 119)
Imam Ibn Kathir menafsirkan ayat ini dengan berkata:
اصدقوا والزموا الصدق تكونوا مع أهله وتنجوا من المهالك ويجعل لكم فرجا من أموركم ، ومخرجا ،
“Jujurlah, dan hendaklah konsisten dengan kejujuran, kamu pasti akan berada bersama orang yang jujur, kamu akan selamat daripada kemusnahan. Allah S.W.T akan berikan jalan penyelesaian bagi urusan kamu, dan jalan keluar.”
Jadilah diri sendiri, pasti lebih membahagiakan. Tak perlu berlakon-lakon, kerana ia hanyalah menipu diri sendiri:
فَلَوْ صَدَقُوا اللَّهَ لَكَانَ خَيْرًا لَهُمْ
“Tetapi jikalau mereka berlaku jujur pada Allah, nescaya yang demikian itu lebih baik bagi mereka.”
(Muhammad: 21)
MUHAMMAD MUJAHID IR MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 13/8/2021
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!