PH diseru hentikan sandiwara politik

- Advertisement -

OIeh YUSMAN AWANG

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) diseru supaya segera menghentikan sandiwara politik dan sebaliknya berganding bahu membanteras penularan wabak Covid-19 demi untuk membantu rakyat.

Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Negeri Johor (BPPNJ), Rusman Kemin berkata, Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan kepimpinan PH perlu menjadi pemimpin yang waras dan bertanggungjawab.

- Advertisement -

“Berhenti daripada memperbodohkan rakyat, jadilah ‘politikus’ yang baik dan matang dengan menerima kebaikan walaupun ia datang daripada pihak musuh dan tolaklah keburukan walaupun ia datang daripada kawan kita sendiri,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, PH sebenarnya sebelum ini hanya bersandiwara dan menghormati titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengikut selera mereka sahaja.

“Jika tidak kena dengan selera mereka (PH), mereka akan tentang. Malahan menuduh Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pula yang tidak menghormati titah Baginda,” kata Rusman.

Menurutnya, pada 25 Oktober 2020, Agong pernah menolak darurat yang dicadangkan oleh pihak Kerajaan yang mana PH telah menyambut baik dan memuji Baginda atas keputusan tersebut.

“Kerajaan pula menerima titah Agong tersebut dengan lapang dada dan hati yang terbuka. Namun, apabila Baginda telah berkenan untuk mengisytiharkan Proklamasi Darurat pada 11 Januari 2021 dalam suasana wabak Covid-19 yang sememangnya kian kritikal, PH sebaliknya tidak pula boleh mentaati dan menghormati keputusan yang dibuat oleh Baginda bahkan mencabar titah Baginda tersebut,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 11/8/2021

- Advertisement -