Maal Hijrah peluang rapatkan saf, jauhkan jurang perbezaan

Foto Facebook Hishamuddin Abdullah
- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Maal Hijrah atau Awal Muharram wajar dijadikan titik perubahan ke arah keperibadian serta kehidupan yang lebih baik bagi setiap umat Islam di negara ini.

Tahun baru di dalam bulan-bulan Islam ini juga perlu direbut oleh semua umat Islam untuk berhijrah daripada budaya sinonim di negara ini yang berpecah belah serta menjatuhkan antara satu sama lain kepada budaya bersatu padu, harmoni dan bergandingan bahu melawan musuh yang satu, Covid-19.

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Senator Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, pihaknya menggesa semua pemimpin politik untuk bekerjasama dengan kerajaan bagi menangani wabak Covidid-19 yang semakin mengganas.

“Hari ini negara kita berdepan dengan pandemik Covid-19 yang menguji kecekalan kerajaan Perikatan Nasional mengurus krisis berlandaskan kepada Maqasid Syariah.

“Saya merayu kepada semua pihak termasuk ahli politik, barisan NGO, tokoh-tokoh masyarakat serta rakyat berbilang bangsa dan agama untuk sama-sama bergandingan bahu membantu kerajaan keluar daripada kemelut pandemik Covid-19 ini melalui Pelan Pemulihan Negara.

“Saya percaya, sekiranya kita bersama dan bersatu hati, kemenangan akan menjadi milik kita semua bersama,” ujarnya dalam satu kenyataan, semalam.

Dalam pada itu, beliau menzahirkan rasa syukur ke hadrat Ilahi di atas segala nikmat yang diberikan serta kesempatan yang diberikan-Nya untuk terus berjuang di tahun baru kalendar Islam, 1443 Hijriah.

“Ini bermakna peristiwa hijrah Rasulullah SAW membangun sebuah negara Islam Madinah yang terdiri daripada masyarakat majmuk semakin lama semakin menjauh daripada kita semua (1443 tahun jauhnya) ,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 12/8/2021

- Advertisement -