Lempuk dan tempoyak isi tabung PRU15

- Advertisement -

TEMERLOH: PAS Cawangan Belengu telah mengambil inisiatif memanfaatkan durian yang tidak dapat dijual bagi menghasilkan lempuk asli dan tempoyak manis segar dalam menjana tabungan dana PRU15.

Usaha ini juga secara tidak langsung membantu pemilik kebun dan pemborong durian yang tidak dapat menjual hasil durian mereka kerana keterbatasan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ketika ini.

Ketua PAS Belengu, Jaya Mohamed berkata, sebanyak 200 kilogram (kg) durian telah digunakan dan dapat menghasilkan lebih 20 kg lempuk dan 10 kg tempoyak yang merupakan makanan tradisi orang Melayu.

- Advertisement -

Kerja-kerja menghasilkan lempuk dan tempoyak tersebut telah dijayakan dengan bantuan 10 petugas dalam kalangan ahli-ahli PAS Belengu sejak awal pagi dan siap sepenuhnya menjelang Asar hari sama.

Bendahari PAS Belengu, Noraini Mohamad memberitahu, projek kecil pihaknya itu bertujuan mengisi Tabung PRU15 yang dijangka akan berlaku bila-bila masa dan berharap ia menjadi sumbangan ke tabung itu.

Yang Dipertua PAS Kawasan Temerloh, Md Jusoh Darus pula menzahirkan rasa sangat gembira beliau dengan semangat ditunjukkan PAS Belengu untuk memastikan jentera pilihan raya dipersiapkan semua sudut. 

Makanan tradisi ini sesuai dimakan begitu sahaja atau menjadi perasa dalam masakan atau pembuatan makanan lain di mana PAS Belengu menjualnya dengan harga RM60 sekilogram bagi tujuan dana tabung tersebut. – HARAKAHDAILY 12/8/2021

- Advertisement -