Himpunan Muslimat cetus semangat jihad PRU15

- Advertisement -

BENTONG: Dewan Muslimat PAS Kawasan Bentong membuka tirai Tahun Baharu 1443 Hijrah dengan menghimpunkan para amilin PAS Bentong di dalam Himpunan Jentera Halwa Parlimen Bentong, malam kelmarin.

Program dimulakan dengan bacaan Yaasiin diketuai Setiausaha Lajnah Dakwah, Haslina Shahor dan disusuli alunan zikir munajat AKIFI dipimpin Ketua Lajnah Dakwah merangkap Timbalan Ketua Muslimat PAS Bentong, Faezah Mohammad.

- Advertisement -

Bagi membangkit dan membugar semangat pasukan petugas Halwa menghadapi PRU15 bakal tiba, Ketua Muslimat PAS Bentong, Roslin Mohd Jidin tampil memberi taklimat gerak kerja.

“Himpunan ini dianjurkan bagi mengumpul semangat dan kekuatan serta berkongsi pesanan atau taujihat kepada para petugas Halwa PAS Bentong dalam menghadapi PRU15 tidak berapa lama lagi. 

“Politik negara sekarang ini berada dalam situasi tidak menentu, kita berharap para petugas dapat mencerap keadaan ini dan dapat membantu PAS Bentong khususnya jentera Muslimat di dalam gerak kerja pilihan raya akan datang,” ujarnya.

Tambah Timbalan Pengarah 4 Jabatan Pilihanraya PAS Parlimen Bentong (JPrP) itu lagi, selain melaksanakan usaha dakwah, jihad utama PAS adalah berjuang untuk meraih mardhatillah dengan tertegaknya Islam di atas muka bumi.

Program tambah bersemangat dengan kehadiran tetamu istimewa, Naib Ketua Muslimat PAS Negeri Pahang, Ustazah Alawiyah Kasdan yang diundang khas mengisi slot kalam taujihat.

“Jihad itu berasal daripada kata perbuatan ‘jahada’, bermaksud berusaha bersungguh- sungguh. Perkataan jihad jika dilihat daripada kata dasar ‘al-Juhd’, bererti keberatan dan kesusahan.

“Jihad kena ada tekanan. Bila ditekan, segala kerja berat dan susah itu akan memaksa kita berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapainya, itulah namanya jihad.

“Apakah tujuan kita berjuang? Supaya kalimah Allah ini dimulia dan ditinggikan. Justeru, orang-orang yang berusaha dan berjihad bersungguh-sungguh meninggikan kalimah Allah, pasti akan dimuliakan Allah,” ucap Alawiyah bersemangat.

Ketua Muslimat PAS Kawasan Temerloh itu juga berharap agar program seumpama ini yang diisi dengan zikir munajat ini dapat diusahakan secara kerap lagi di masa akan datang kerana kebergantungan manusia kepada Allah adalah sumber kekuatan.

Himpunan yang berlangsung secara maya ini dihadiri para peserta terdiri daripada jentera Jabatan Pilihanraya Halwa DUN Ketari, DUN Sabai, DUN Pelangai dan DUNBilut serta jentera Muslimat muda, Gen3, guru-guru PASTI dan SRITI seluruh Bentong. – HARAKAHDAILY 12/8/2021

- Advertisement -