Buat himpunan secara maya bendung penularan Covid-19

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) tidak berniat untuk menghalang sebarang himpunan, tetapi sebaliknya berhasrat himpunan diadakan pada waktu dan situasi yang lebih sesuai berbanding ketika ini, atau 21 Ogos ini.

- Advertisement -

Pengerusinya, Mohd Zai Mustafa berkata, UMMAH pernah menganjurkan himpunan yang lebih besar sebelum ini, bahkan berhasrat untuk mengadakannya sekali lagi sekiranya pandemik Covid-19 tidak menular ketika ini.

Namun, pihaknya menyimpan rapi kehendak itu kerana memahami situasi semasa yang tidak sesuai dan tentunya melanggar prosedur operasi standard (SOP).

“Kita merasakan bahawa kita tidak menjadi pihak yang menghalang perhimpunan, kerana dulu UMMAH pun sudah buat himpunan yang paling besar, ICERD (Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum), penuh Dataran Merdeka. Tetapi kita buat dengan cara yang ikut peraturan.

“Sekarang pun hendak buat himpunan, tetapi kita melihat peraturan, kita melihat kepentingan kemaslahatan rakyat lebih penting,” ujarnya ketika ditemui media selepas membuat laporan polis berhubung satu himpunan 21 Ogos ini, di Pejabat Polis Dang Wangi, hari ini.

Justeru itu, Mohd Zai menasihatkan pihak penganjur mengadakan himpunan secara maya memandangkan itu adalah inisiatif terbaik ketika ini bagi membendung penularan Covid-19.

“Kalau betul kumpulan sekretariat yang hendak menggerakkan (himpunan) 21 Ogos nanti, mereka hendak buat 30 juta, seluruh rakyat Malaysia pun dia boleh buat secara maya kalau orang sokong mereka.

“Tiada masalah. Bukan kita perlu turun ramai-ramai di sini. Tak perlu.

“Tetapi kalau sudah aman, Covid-19 sudah tiada, berhimpun satu Kuala Lumpur pun tidak ada masalah. Sebab kita (pun) pernah buat. Ikut peraturan sedia ada, mohon permit dan sebagainya.

“Tetapi dalam keadaan sekarang, kepentingan, keselamatan kesihatan itu lebih utama kerana dikhuatiri akan akibatkan akan memberi kesan kepada pihak-pihak lain termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang akan menanggung segala risiko akibat daripada jangkitan itu,” ujarnya.

Apatahlagi, kes baharu positif Covid-19 harian telah mencecah lebih 21,000 kes hari ini.

Oleh itu katanya, sekiranya sebarang himpunan diteruskan jangkitan akan berterusan dan pastinya akan menyusahkan pihak lain.

Hari ini, merupakan laporan polis ketiga daripada UMMAH Pusat tidak termasuk laporan polis daripada UMMAH negeri. – HARAKAHDAILY 12/8/2021

- Advertisement -