Kedah anugerah projek RM1.3b hanya propaganda politik

- Advertisement -

ALOR SETAR: Tuduhan kononnya Kerajaan Negeri Kedah menganugerahkan projek bernilai RM1.3 billion kepada pihak tertentu tidak benar sama sekali malah dianggap propaganda politik semata-mata.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Kedah tidak mempunyai wang sebanyak itu apatah lagi untuk melaksanakan projek mega berkaitan litar perlumbaan kereta.

“Kerajaan negeri tidak mempunyai wang sebanyak itu bagaimana nak anugerahkan projek yang bernilai RM1.3 billion kepada pihak lain.

- Advertisement -

“Projek Litar lumba di Langkawi akan dibangunkan oleh Open Road Asia Sdn Bhd dan ini adalah projek pelaburan syarikat swasta yang bekerjasama dengan Permodalan Kedah Berhad (PKB) sebagai pemilik tanah,” tegas beliau dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, tuduhan ahli parti PKR Sungai Siput bahawa terdapat individu tertentu yang didapati muflis terbabit dalam syarikat swasta itu tiada kaitan dengan kerajaan negeri.

“Rundingan dan kerjasama projek ini adalah antara syarikat dengan syarikat iaitu Open Road Asia Sdn Bhd dengan Pemodalan Kedah Berhad (PKB), bukan antara individu dengan individu,” bidas beliau.

Jelas Sanusi lagi, kerajaan sentiasa bersikap terbuka untuk mengkaji, menerima dan bekerjasama dalam sesuatu cadangan pelaburan di negeri ini sekiranya terdapat pihak swasta memiliki keupayaan kewangan.

“Ahli PKR yang membuat tuduhan kononnya terdapat ‘salah guna kuasa dalam penganugerahan projek kerajaan negeri kepada syarikat itu’ bagi saya adalah tidak cermat dan tidak lebih hanyalah satu propaganda politik.

“Sedangkan kerajaan cukup teliti dan mengambil kira pengalaman dan kesungguhan para pelabur dalam sebarang projek dan yang pastinya menyumbang kepada pembangunan sektor ekonomi di Kedah,” tambahnya.

Kerajaan negeri juga katanya sentiasa telus dan mengamalkan tahap integriti tertinggi dalam melaksanakan sebarang projek pembangunan.

Sungguhpun begitu pihaknya menyedari pencapaian cemerlang negeri ini dalam sektor pelaburan  sangat memberansangkan dalam setahun kebelakangan ini.

Maka, ujarnya tidak hairanlah ia mengundang rasa cemburu banyak pihak yang hanya ingin melihat Kedah jatuh dan gagal.

“Pencapaian dan kepercayaan para pelabur untuk melabur di Kedah adalah bukti kesungguhan dan ketelusan kami bekerja untuk rakyat negeri ini,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 12/8/2021

- Advertisement -