Membumikan kerja kebajikan, strategi utama gerakan Islam

- Advertisement -

MUSIM pandemik ini, bukan sahaja rakyat jembel tertekan dan terjejas namun mengundang ketidakstabilan sosio politik. Bahasa kesat, maki hamun dan sumpah seranah menghiasi media sosial sangat menjengkelkan palong nurani Kita semua.

- Advertisement -

Musim wabak ini PAS sebagai harakatul ummah terus muncul dipelbagai situasi dan kondisi, mengagihkan makanan, menguruskan jenazah, menguruskan keluarga mangsa Covid-19 dan pelbagai bantuan kepada masyarakat.

Amilin PAS muncul di kawasan terputus bekalan air di Kuala Nerus, Batu Rakit, Manir dan sekitarnya. Rakyat yang terkesan dengan pandemik bertindih masalah dengan masalah bekalan air sekurangnya boleh tersenyum menerima bantuan air.

PAS hampir menjangkau umurnya 70 tahun di medan operasi masyarakat dengan rangkuman sayapnya menjangkaui sektor siasah, dakwah dan tarbiah negara ini.

Keberadaan PAS sangat dirasai oleh massa dalam tiga segmen ini malah inilah relevansi PAS sebagai pemain utama politik negara ini, malah menempa nama di persada antarangsa. PAS menjadi sebahagian kerajaan Persekutuan dan memimpin di tiga buah negeri jantung hati orang Melayu, Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Diakui lawan dan kawan, dalam guratan wajah ceria atau cemberut, diakui bahawa harakatul ummah ini mempunyai organisasi yang tersusun, manhaj perkaderan yang sistematik, tarbiah nizomi yang berpakej lengkap daripada pra sekolah sehinggalah peringkat pengajian tinggi.

PAS dengan lebih sejuta keahlian dan dua juta penyokong adalah aset PAS yang paling berharga, mereka berdisiplin serta sanggup berkorban bagi mencapai aspirasi perjuangan Islam.

Mengapa PAS terus relevan walaupun hampir mencecah tujuh dekad umurnya? Jawaban yang jujur adalah kerana parti Islam tertua ini sinonim dengan kerja kebajikan dan kemasyarakatan, rakyat tersentuh dengan petugas PAS saat mereka dalam kesusahan.

PAS saat menang atau kalah, terus mengarusperdanakan gerakerja kebajikan dalam harakatul ummah ini. Maka PAS terus diingati dalam minda sedar rakyat bahawa PAS ialah sekelompok manusia yang sentiasa muncul disaat kepayahan dan kejerihan.

Amilin PAS hadir dengan senyuman bila berlakunya masalah bekalan air, membantu mangsa pandemik, tragedi banjir, kebakaran, mengurus kematian, menyantuni sang miskin dan asnaf, membaiki premis dan rumah rakyat, memeriahkan kenduri, menziarahi yang uzur dan tenat juga menyediakan tabung pendidikan untuk yang memerlukan.

Biar seluruh sektor masyarakat meletakkan PAS dalam jenama kebajikan yang sangat piawai. Pimpinan PAS memacu usaha membantu rakyat, memposisikan diri sebagai tokoh kebajikan dan peduli ummat.

PAS melalui wahana kebajikan memikul tangggungjawab yang besar akibat kehidupan rakyat semakin dijerut dengan kepayahan, penggangguran yang melata, krisis ekonomi akibat kesan pandemik kovid 19.

Wabak yang mendunia ini juga merencatkan sedikit sebanyak pergerakan rakyat, melembapkan perniagaan dan menjejaskan sektor pelancongan.

Rakyat secara umumnya menilai sesebuah parti politik melalui gerakerja kebajikan dan tawaran kebajikan yang ditawarkan oleh sesebuah entiti politik.

PAS cukup menonjol dalam arena dakwah dan pencerahan ilmu, asatizah PAS menguasai masjid, surau, pelbagai wadah ilmu. Begitu juga dalam bidang pendidikan, seterusnya menggilap lagi pengupayaan PAS dalam bidang kebajikan dan kemasyarakatan.

PAS jauh meninggalkan gerakan Islam antarabangsa yang lain, berdepan dengan pasang surut perjuangan, perpecahan dalaman, dimatangkan dengan mehnah sepanjang hampir tujuh dekad berjuang.

PAS membias sinarnya kepada rakyat melalui kerja kebajikan, begitu juga gerakan Islam antarabangsa yang menonjol dalam gerakerja kebajikan dan kemasyarakatan.

Jamiat Islami contohnya, mempunyai pelbagai jaringan sivil untuk menebarkan kepedulian dan gerakerja kebajikan, antaranya PIMA, Pasban, Masjid mision dan lain-lain lagi.

Gerakan Islam seperti Ikhwanul Muslimin walaupun mengalami kekangan yang hebat, juga bergerak melalui jaringan sivil, menggerakkan NGO dalam pelbagai tugasan.

Pertubuhan Milli Guruz yang diasaskan oleh almarhum Prof Dr Najmuddin Erbakan dengan pelbagai NGO kebajikan membantu ummat di peta luka umat Islam di benua Afrika, Sub continent juga membantu umat Islam di benua Eropah.

PAS dengan sebanjaran pengalaman emas juga perlu membina visi, merancang, melaksana, memantau dan mengambil tindakan segera dalam apa jua isu kebajikan rakyat.

Pimpinan PAS dipelbagai peringkat, juga NGO -NGO rangkuman PAS mestilah turut memahami struktur organisasi kerajaan, Jentera Kementerian, dan Akta Peraturan berkaitan, dan menangani isu-isu kebajikan rakyat.

Penulis yakin dalam tempoh sedekad lagi, PAS akan menjadi wadah utama umat Islam negara ini, jika pemerkasaan gerakerja kebajikan sentiasa dihati pendokong serta penyokong PAS.

Saat pihak lain begitu obses dengan kuasa dan kerusi namun amilin PAS terus berkeringat membantu umat tanpa lelah dan jemu, pimpinan PAS disemua peringkat terus menghulurkan tangan membantu, wang dalam kocek mereka digunakan untuk membantu insan lain yang memerlukan.

Teruskan membantu dan memberikan senyuman sehingga nafas terakhir Kita bagi membolehkan kita semua berehat dengan damai di alam abadi.

DR RIDUAN MOHAMAD NOR

Penulis adalah Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat merangkap Pengerusi Lajnah Sukan, Kesenian dan Kebudayaan (Lestari). – HARAKAHDAILY 11/8/2021

- Advertisement -