Kecewa menteri tinggal jawatan ketika IPT terumbang-ambing

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Gabungan Mahasiswa Islam se-Malaysia (GAMIS) kecewa dengan keputusan yang dibuat bekas Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yang meninggalkan jawatannya ketika sektor Institut Pengajian Tinggi (IPT) terumbang-ambing tanpa hala tuju yang jelas.

Menurut Timbalan Presidennya, Mohd Izzudin Aziz, sehingga kini, pihaknya berpendapat bahawa berbagai isu di peringkat institut pengajian tinggi yang masih belum diselesaikan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

- Advertisement -

“GAMIS mengambil maklum isu-isu yang dibangkitkan mahasiswa seperti halangan dan ketidakberkesanan pembelajaran atas talian, kebajikan mahasiswa yang terus diabaikan oleh KPT,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Selain itu, GAMIS juga menuntut KPT supaya mengeluarkan arahan dan (prosedur operasi standard) SOP yang jelas selain merangka dan menyusun agar sesi pembelajaran boleh dijalankan secara hibrid.

GAMIS juga menuntut supaya KPT membenarkan mahasiswa pulang ke universiti dengan kapasiti 50 peratus jumlah mahasiswa di setiap universiti dan mengatur atau mempercepat proses vaksinasi untuk mahasiswa serta mengutamakan kebajikan mahasiswa khususnya daripada keluarga B40.

“Pendidikan merupakan elemen penting dalam menentukan masa depan negara.

“Sehubungan dengan itu, bidang pendidikan tidak harus dijadikan mangsa oleh kemelut politik yang tidak berkesudahan sehingga kini.
“Setiap pihak haruslah menjalankan peranan agar Institusi Pengajian Tinggi mampu melahirkan modal insan yang berkualiti.

“GAMIS sentiasa terbuka atas sebarang ruang perbincangan bersama KPT dan menyokong sebarang agenda yang menguntungkan mahasiswa,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 11/8/2021

- Advertisement -