Tawar-menawar politik jejas kestabilan negara

- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sekiranya tindakan membeli ahli-ahli Parlimen untuk mendapatkan kuasa pemerintahan menjadi norma baharu politik negara, maka suara rakyat yang diterjemahkan melalui pilihan raya tidak lagi bernilai.

Sebaliknya, ia bertukar menjadi suara elit politik yang galak mencatur masa depan politik negara, kata Penganalisis Politik, Dr Ilyas Abdullah.

Menurutnya, senario ini dilihat apabila terdapat pihak-pihak tertentu yang mengambil jalan mudah bagi kepentingan peribadi masing-masing untuk memerintah kerajaan.

Jelas beliau, sejurus selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih tampuk kepimpinan, berlakunya krisis perebutan jawatan Perdana Menteri melibatkan dua tokoh politik prolifik negara.

Katanya, meskipun sudah membentuk kerajaan, pimpinan PH telah bertindak menarik beberapa ahli parlimen Umno untuk mengukuhkan cengkaman parti tersebut dalam kerajaan khususnya daripada pengundi Melayu luar bandar yang masih kuat menyokong Umno.

“Apabila pengundi Melayu menyokong Bersatu, maka Bersatu mampu untuk mendominasi kedudukan dalam PH,” katanya kepada HarakahDaily, semalam.

Bagaimanapun kata Ilyas, tindakan tersebut tidak disenangi sebahagian besar rakan komponen lain dalam PH khususnya PKR dan DAP apabila kecenderungan untuk menarik seramai mungkin ahli Umno adalah berkait dengan ideologi Bersatu yang berlatarkan politik Melayu-Bumiputera, ditambah pula pimpinan parti Bersatu yang juga merupakan bekas pemimipin Umno.

Malah katanya, pimpinan PKR juga dengan lantang menegur Bersatu yang dilihat begitu ghairah memperluaskan keahlian khususnya kepada ahli-ahli Umno.

“Sebelum berlangsungnya PRU (Pilihan Raya Umum) ke-14, PKR sebenarnya sudah berada di landasan yang tepat untuk memenangi pilihan raya berdasarkan mood rakyat pada ketika itu yang jelas mahu menumbangkan BN berdasarkan pelbagai isu tadbir urus dan juga keresahan rakyat berkait dengan kenaikan harga barang dan juga isu GST.

“Namun, usaha PKR untuk merebut jawatan Perdana Menteri sekali lagi gagal setelah Tun Dr Mahathir meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri selepas berlakunya Langkah Sheraton yang menafikan peluang PKR untuk memegang jawatan berkenaan.

“Jawatan Perdana Menteri seterusnya bertukar setelah mendapat perkenan YDPA meskipun dengan majoriti tipis seterusnya membentuk Perikatan Nasional (PN),” katanya lagi.

Menurut beliau, usaha merebut tampuk kuasa tidak ternoktah di situ apabila pimpinan PH mengadakan satu sidang media tergempar yang mendakwa pihaknya mendapat majoriti kukuh ahli-ahli Parlimen bagi membentuk kerajaan.

“Beliau juga mengulangi dakwaan bahawa Kerajaan PN telah tumbang.

“Beliau menyatakan bahawa sokongan ahli Parlimen terhadapnya bukan satu, lima atau enam tetapi melebihi dua pertiga yang terdiri daripada ahli Parlimen pelbagai parti.

“Namun beliau bertegas kerajaan yang bakal dipimpinnya kelak masih kerajaan Melayu-Bumiputera,” kata Ilyas.

Selain itu kata Ilyas, pimpinan Umno turut menjelaskan bahawa ramai ahli Parlimen partinya serta Barisan Nasional (telah menyatakan sokongan terhadap PH.

Bagaimanapun katanya, mereka menyangkal dakwaan tersebut dan masih berdiri teguh bersama kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Terdapat juga tindakan beberapa ahli parlimen Perikatan Nasional (PN) membuat kenyataan media bagi menyangkal dakwaan tersebut.

“Ekoran daripada kenyataan tersebut, Setiausaha Agung PAS mendesak supaya Umno memberikan penjelasan sejelas-jelasnya berhubung dakwaan tersebut.

Justeru kata beliau yang juga Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Pentadbiran Dan Pengajian Polisi UiTM Pahang Kampung Raub, tindakan tersebut ternyata memberikan impak yang begitu besar kepada kestabilan politik dan juga imej negara.

Walaupun dalam praktis kebiasaan politik negara, pihak yang terbukti mendapat majoriti boleh mentadbir negara, bagaimanapun dakwaan mempunyai majoriti sebaliknya disangkal pula oleh pihak yang dikatakan sudah memberikan sokongan terhadap beliau.

Namun mutakhir ini, Umno sekali lagi menyatakan pendiriannya untuk menarik sokongan terhadap PN sekaligus membawa polemik baharu berkait kestabilan kerajaan dan keabsahannya. 

Bagaimanapun, PN turut bertegas bertegas bahawa kerajaan masih mempunyai sokongan majoriti untuk terus mentadbir.

Oleh yang demikian katanya, ahli-ahli politik perlu berhenti memperjudikan nasib rakyat demi kepentingan peribadi masing-masing serta segera mengangkat suara rakyat melalui demokrasi berparlimen yang diamalkan negara ini. – HARAKAHDAILY 9/8/2021

- Advertisement -