Tahniah Dato’ Azizul – Wan Sukairi

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu melahirkan rasa bangga dengan kejayaan Dato’ Mohd Azizulhasni Awang, yang telah membuat pencapaian terbaiknya di pentas Olimpik Tokyo 2021, kali ini.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kejayaan yang dicapai oleh pelumba negara, Dato’ Azizulhasni dalam acara keirin sukan Olimpik itu sangat membanggakan.

Katanya, kejayaan itu bukan sahaja menjadi milik peribadi ‘The Pocket Rocketman’ tetapi turut dikongsi oleh seluruh rakyat Malaysia dan warga Terengganu Darul Iman.

“Kita semua (rakyat) rasa teruja dengan kemenangan Dato’ Azizulhasni Awang, walaupun kita tahu ketika ini beliau berhadapan bukan sahaja dengan saingan (di pentas) lawan dia.

“Tetapi juga berhadapan dengan keadaan keluarga, ayahnya (Awang) terkena serangan ‘mini-stroke’ (stroke ringan) dan sedikit sebanyak itu mungkin mempengaruhi penumpuan dia.

“Namun, dalam keadaan begitu pun dia masih lagi dapat kawal emosi dia dan membuat persembahan yang terbaiklah sehingga dapat pingat Perak di Olimpik Tokyo kali ini,” ujarnya kepada HarakahDaily, hari ini.

Exco Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Terengganu, Ustaz Wan Sukairi anggap Dato’ Azizul ‘One of The Best’

Wan Sukairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam menyifatkan, pencapaian anak muda itu sebagai yang terbaik sepanjang penglibatan Azizul dalam sukan berbasikal.

“Secara peribadi saya, ucap tahniah dan anda (Dato’ Azizul) ‘One of The Best’ bagi saya yang mengenali bakat dan kemampuan pencapaiannya itu. Pencapaian dia (Azizul) adalah yang terbaik sebab, sebelum ini dia hanya mendapat pingat gangsa di Sukan Olimpik Rio pada 2016.

“Kita (negara) harap untuk Olimpik akan datang (2026) dia akan dapat pingat emas. Kerajaan negeri (Terengganu) akan memberikan hadiah atau insentif atas kejayaan dan kemenangan, Insya’Allah. Cuma bentuk (hadiah) apa itu akan ditentukan kemudian,” jelasnya.

Menurut Wan Sukairi, hasrat dan cita-cita jaguh berbasikal trek negara itu sebenarnya mahukan pingat emas tetapi ‘terubat’ dengan pingat perak.

Mengikut rekod, Dato’ Azizulhasni berjaya di tempat kedua acara itu selepas ketinggalan hanya 0.763 saat di belakang Jason Kenny pelumba dari Britain selaku penyandang pingat emas Sukan Olimpik Rio, tahun 2016. – HARAKAHDAILY 9/8/2021

- Advertisement -