Perlukah ujian antibodi COVID-19?

- Advertisement -

TERDAPAT setengah pihak yang cuba mengelirukan masyarakat dengan memberi idea supaya diadakan ujian antibodi selepas cucuk vaksin dos pertama. Secara teori kalaulah antibodi sudah mencukupi maka tidak perlulah seseorang individu itu cucuk vaksin dos kedua. Bagi orang yang takut cucuk vaksin, memang suka lah kenyataan sebegini. 

Secara teori dan idea memang bagus sebab dengan melakukan ujian antibodi setiap orang yang telah pun diberi vaksin dos pertama antibodi sudah terbentuk dalam peratusan tertentu. Apabila dah tahu berapa peratus telah terbentuk, maka tak perlulah dos kedua diberikan kepada individu berkenaan? 

- Advertisement -

Jangan salah faham dan buat keputusan sendiri. Vaksin yang disuntik akan mengaruh sel darah putih bagi menghasilkan protein yang diberi nama antibodi. Namun ianya spesifik untuk jenis vaksin mana yang digunakan. Kebanyakan vaksin COVID-19 adalah menggunakan sebahagian kecil virus sahaja iaitu protein S (Spike Protein). Jadi hasil aruhan itu nanti akan spesifik membentuk antibodi yang akan berlawan dengan Protein S virus betul COVID-19 nanti. Akhirnya sama ada virus COVID-19 itu tidak dapat bertindak jahat atau merosakkan keadaan pesakit supaya semakin teruk. Justeru antibodi yang ingin diuji perlu juga khusus.

Mari saya terangkan. Untuk mudah faham, belajar dulu istilah:

RTK – Rapid Test Kit (Ujian Pantas).
PCR – Polymerase Chain Reaction (Untuk kesan DNA atau RNA virus sama ada komponen atau keseluruhan badan virus).
Ag – Antigen; Adalah sel virus atau sebahagian struktur virus. 
Ab – Antibodi; Protein yang terbentuk berfungsi mempertahankan badan manusia dari diserang kuman. 

Baik, persoalannya, adakah perlu ujian antibodi dilakukan ke atas setiap penerima vaksin? Elok kita rujuk kepada konsensus pakar dalam isu ini.

Kenyataan FDA pada 19 Mei 2021 yang lalu tidak menyarankan ujian antibodi ini dilakukan kepada semua penerima vaksin. Pakar-pakar dalam FDA membuat kesimpulan bahawa:

1. Ujian antibodi itu boleh jadi positif akibat dari dua kemungkinan:
a. Pertama, jangkitan virus COVID-19 secara semulajadi;
b. Kedua, pengambilan vaksin.

Kekeliruan akan timbul sama ada antibodi itu dari yang mana satu kerana keputusan hanya menunjukkan positif atau negatif. Ujian RTK-Ab itu tidak menunjukkan paras antibodi sebenar. Penentuan paras antibodi COVID-19 perlu kaedah lain yang lebih canggih seperti menggunakan kaedah ELISA atau flowcytometry. Sudah tentu makmal tertentu sahaja yang buat dan kos yang tinggi. 

2. Keputusan negatif ujian rapid (RTK-ab) juga tidak bermakna seseorang itu tiada antibodi terbentuk selepas vaksin atau jangkitan semulajadi COVID-19. Ini kerana Ujian RTK-Ab itu tidak spesifik menguji antibodi neutralising(Neutralising Antibody) seperti Protein S, E, M dan HE. Malah Protein S (Spike Protein) pun banyak pula epitope dia (S1, S2, RBD up, RBD down, dan RBM). Memang terlalu kompleks untuk difahami.

DR SUHAZELI ABDULLAH
Pakar Perubatan Keluarga
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 9/8/2021

Rujukan:
[1] FDA. Antibody Testing Is Not Currently Recommended to Assess Immunity After COVID-19 Vaccination: FDA Safety Communication. May 19, 2021.

Sumber Asal: https://www.facebook.com/546572572048737/posts/4286138304758793/

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -