PAS hargai Adun BN terus dukung kerajaan PN

- Advertisement -

ALOR SETAR: Komitmen dua Adun Barisan Nasional (BN) untuk terus menyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PN) Kedah amatlah dihargai.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Senator Ahmad Yahaya berkata, tindakan itu amat tepat di saat semua pihak sedang memberi tumpuan memerangi pandemik Covid-19 yang melanda negara sekarang.

- Advertisement -

“PAS Kedah ucapkan tahniah dan syabas kepada mereka kerana terus bersama PN walaupun beberapa Ahli Parlimen dari Umno menolak kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yaasin dan menarik diri daripada PN,” ujar beliau pada kenyataan semalam.

Dato’ Suraya Yaacob

Beliau berkata demikian ekoran pengisytiharan dua Adun Umno iaitu Dato’ Suraya Yaacob (Sungai Tiang) dan Dato’ Norsabrina Mohd Noor (Bandar Baru) terus menyokong dan bersama PN Kedah.

Suraya merupakan anggota Exco kerajaan negeri yang mempengerusikan jawatankuasa Kerjaya, Bekalan Air dan sumber tenaga.

Dato’ Norsabrina Mohd Noor

Kelmarin Suraya dilaporkan berkata, belum ada arahan daripada Umno Pusat supaya kesemua Adun Umno menarik sokongan terhadap kerajaan PN di peringkat negeri.

Ahmad juga berkata, keputusan itu amat wajar kerana ketika ini kemaslahatan rakyat perlu diutamakan daripada memberi perhatian atau sokongan kepada pihak yang mempunyai agenda tertentu serta berkepentingan peribadi.

Sehubungan itu beliau yakin melalui kestabilan politik, kemajuan ekonomi, peningkatan pelaburan dan hasil Kedah mampu ditingkatkan.

“Pentadbiran Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor perlu terus didukung oleh semua pihak supaya rakyat Kedah mendapat nikmat dan kesejahteraan yang berterusan,” tambah beliau. – HARAKAHDAILY 9/8/2021

- Advertisement -