Orang ramai masih terikat SOP ditetap kerajaan

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Kelonggaran bagi individu yang sudah menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19 dianggap satu perkembangan baik walaupun masih terikat dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Timbalan Menteri Besar Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, pengumuman tersebut bukan tiket untuk bebas serta mengabaikan SOP ketika empat kes yang melibatkan penularan varian Delta dikesan di Kelantan.

- Advertisement -

Katanya semua pihak perlu menghargainya dengan sebaik mungkin kelonggaran yang diberi kerajaan dengan menjaga SOP.

“Ini merupakan satu perkembangan baik, saya tekankan supaya terus menjaga SOP walaupun masih ada dalam kalangan kita memandang mudah dan agak leka terhadap SOP, ini yang menjadi kebimbangan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan majlis penyerahan tablet kepada pelanggan ar Rahn di Ibu Pejabat Permodalan Kelantan Berhad (PKB) di Kelantan Trade Center (KTC) hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), Ab Aziz Yunus dan Pengurus Besar PKB, Ramilan Abdul Rahman.

Pada program itu lima tablet disampaikan kepada penerima. Sebanyak 50 tablet
ditaja PKB dengan kerjasama Koperasi PKB diserah kepada pelanggan ar Rahn yang kurang berkemampuan dan golongan asnaf.

Ia bertujuan bagi membantu melancarkan proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Mohd Amar yang juga Pengerusi PKB berkata, Kelantan akan melaksanakan kelonggaran itu bermula esok kecuali membabitkan agama melibatkan bidang kuasa Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik).

“Ia termasuk kebenaran solat lima waktu di masjid serta pelaksanaan solat Jumaat bagi individu yang sudah lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19 menyebabkan kesan penularan wabak tersebut dapat dikurangkan,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/8/2021

- Advertisement -