Bekas pegawai bank buat duit tanam cendawan tiram

- Advertisement -

KUALA KRAI: Berbakti kepada tanah pasti mendapat ganjaran. Itulah ungkapan sesuai bagi seorang bekas pegawai bank, apabila usahanya menceburi tanaman cendawan tiram dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac tahun lalu, kini memberi pulangan lumayan.

Mahadi Mohd Jusoh, 51, berkata beliau sebelum ini bekerja sebagai pegawai bank mengambil keputusan berhenti kerja sekitar tahun 2016 demi menguruskan ibunya Zaharah Ahmad, 70, yang sudah uzur selepas kematian bapanya Mohd Jusoh Mat, 81, pada tahun yang sama.

- Advertisement -

Katanya, enggan berpeluk tubuh ketika itu selepas hilang punca pendapatan beliau mengambil inisiatif untuk membuka sebuah runcit berdekatan rumahnya di Kampung Baru Pahi, di sini, untuk menjana pendapatan sambil menguruskan ibunya. 

“Pada awal permulaan pembukaan kedai runcit iaitu pada tahun 2016 jualan di kedai runcit milik saya amat memberangsangkan, bagaimanapun bermula PKP tahun lalu perniagaan saya mula merosot sehingga menyebabkan saya terpaksa memikirkan inisiatif lain, demi kelangsungan hidup saya sekeluarga.

“Ketika buntu memikirkan idea untuk memperoleh pendapatan lain, ada seorang rakan yang mencadangkan saya membuat tanaman cendawan tiram sebagai ‘duit poket’ dan dari situ bermula cubaan sekadar suka-suka terhadap tanaman ini,” katanya ketika ditemui pemberita di rumah cendawan miliknya di Kampung Baru Pahi, di sini hari ini.

Bercerita lanjut, bapa kepada empat orang anak itu berkata, selepas dua bulan negara dikenakan PKP iaitu pada Mei tahun lalu, beliau mula berjinak-jinak dalam tanaman cendawan.

Katanya, pada awalnya beliau mencabar diri dengan membeli sekitar 100 bongkah benih cendawan dengan seorang pembekal selain turut menyediakan rak bagi meletakkan bongkah cendawan dengan berbekalkan modal sebanyak RM2,000.

“Alhamdulillah, percubaan pertama saya membuahkan hasil apabila saya berjaya meraih sekitar 30 kilogram cendawan tiram, sebelum diagihkan kepada jiran-jiran terdekat secara percuma bagi permulaan.

“Sejak dari itu saya mula menambah tanaman bongkah cendawan yang diusahakan dari semasa ke semasa dan sehingga kini ia mencecah sebanyak 5,000 bongkah,” katanya yang turut bercadang untuk menambah 5,000 bongkah lagi sebelum berakhir tahun ini.

Mahadi berkata, antara dua elemen utama yang paling penting bagi tanaman cendawan tiram adalah perlu memastikan kelembapan tidak kurang daripada 80 peratus dan suhu tidak melebihi 30 darjah celsius.

Katanya, proses penuaian turut perlu dilakukan setelah cendawan mula bercambah diikuti proses pembungkusan dan terus dihantar kepada pelanggan.

“Permintaan pasaran terhadap cendawan pada masa ini juga meningkat, kerana pelbagai produk hiliran berkaitan cendawan seperti kerepek cendawan, popia cendawan dan cendawan goreng dihasilkan.

“Setiap bongkah cendawan mampu mengeluarkan sekitar 350 gram dan hampir setiap hari saya mampu mengutip sekitar 10 kilogram, sebelum dijual kepada peraih di pasar terdekat dengan harga RM10 sekilogram,” katanya yang mampu meraih sehingga ribuan ringgit sebulan.

Mahadi berkata, bagi memantapkan ilmu tanaman cendawan berkenaan beliau turut mendapatkan khidmat nasihat daripada Jabatan Pertanian Negeri Kelantan, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), termasuk orang-orang berpengalaman dalam bidang ini.

“Saya turut berharap orang ramai yang kehilangan kerja dan hilang pendapatan disebabkan pandemik COVID-19 ini, boleh mencuba untuk mula menjana pendapatan dengan menceburkan diri dalam penanaman cendawan, sebagai pendapatan sampingan,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -