PPR siap perlu diisi dalam tempoh enam bulan

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

MACHANG:
Lebih 4,000 unit rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR) telah siap dibina pada tahun ini bermula Januari hingga Ogos melibatkan 11 projek.

Projek berkenaan turut melibatkan empat di Pahang, tiga di Kelantan dan masing-masing dua di Johor dan Langkawi.

- Advertisement -

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Dato’ Zuraida Kamaruddin berkata, kerajaan telah menetapkan polisi baharu terhadap Projek Perumahan Rakyat yang siap dibina itu perlu diisi dalam tempoh enam bulan.

Zuraida bagaimanapun berkata, pihaknya amat prihatin dengan tempoh pengisian yang agak lama sebelum ini sehingga boleh mengakibatkan kerosakan harta benda kerana tidak dihuni.

“Dalam masa enam bulan setiap PPR yang sudah siap mesti diisi selain proses pemilihan penerima surat tawaran kena dibuat lebih awal.

“Perkara ini perlu kerana kita bimbang jika rumah dibiarkan dengan begitu lama dan tidak diurus dengan baik dibimbangi akan menjadi satu tempat vandalisme.

“Pada masa sama, pihak berkuasa tempatan (PBT) juga kini lebih teliti dalam memastikan bahawa hanya individu yang benar-benar layak akan ditawarkan memiliki unit rumah PPR ini selain ditapis oleh Kerajaan Pusat melalui sistem Suruhanjaya Perumahan Negara Berhad (SPNB),” katanya.

Selain itu juga katanya, SPNB akan memainkan peranan untuk menguruskan berkenaan pengurusan PPR dari segi menjaga penyelenggaraan dan sebagainya bagi mengelakkan rumah-rumah yang siap dibina disalah guna oleh pembeli dan penyewa.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai mengadakan lawatan kerja di tapak Projek Perumahan Rakyat Bukit Belah, Machang, di sini hari ini.

Terdahulu katanya, kelayakan permohonan akan diberi keutamaan kepada golongan yang layak seperti orang kelainan upaya (OKU), ibu tunggal dan juga kepada badan beruniform yang berkelayakan untuk mengisi kekosongan itu.

Selain itu katanya, pihaknya juga akan membuat kadar bayaran sewaan baru dengan harga berpatutan iaitu sebayak RM250 sebulan.

“kita nak buat kadar sewa baru yang kita rasa lagi berpatutan, jadi kadar sewaan dalam RM250, cuma bila dekat strata ni ada additional sikit untuk maintenance,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/8/2021

- Advertisement -