DISEMBER 2010, dunia dikejutkan dengan seorang tindakan seorang pemuda dari Tunisia, Mohamed Bouazizi yang membakar dirinya berikutan rasa tidak puas hati terhadap pemerintahan Zein Al Abidine Ben Ali, Presiden Tunisia ketika itu berikutan keadaan ekonomi yang teruk, inflasi yang tinggi, kesukaran kehidupan dan pelbagai lagi keadaan yang menjadi tekanan kepada rakyat Tunisia.
Insiden tersebut seterusnya menjadi pencetus kepada kebangkitan rakyat Tunisia sehingga menjadi revolusi di mana akhirnya ia berjaya menjatuhkan Presiden Tunisia, Zein Al Abidine Ben Ali sehingga memaksanya meninggalkan Tunisia untuk mencari perlindungan di Arab Saudi.
Revolusi di Tunisia mula ‘berjangkit’ ke negara-negara Arab lain seperti Mesir, Libya, Yaman, Syria dan Bahrain di mana akhirnya ia berjaya menumbangkan pemerintah di negara-negara tersebut seperti Hosni Mubarak, Muammar Gadaffi dan Ali Abdullah Saleh.
Walaupun tidak menjadi besar dan berupaya menjadi revolusi seperti negara-negara di atas, kebangkitan rakyat juga turut berlaku di Maghribi, Iraq, Algeria, Iran, Lubnan, Jordan, Kuwait, Oman, Sudan, Arab Saudi dan beberapa buah negara lagi di Asia Barat dan Afrika Utara di mana ketika itu seolah – olah berlaku angin perubahan di kalangan penduduk negara – negara terbabit untuk menukar ataupun menumbangkan kepimpinan negara mereka.
Walaubagaimanapun, tidak semua revolusi dan kebangkitan berjaya menukar kepimpinan dan pemerintahan di negara-negara terbabit. Namun ia tetap memberi kesan besar terutamanya dari sudut politik, sosial dan ekonomi yang sesetengahnya masih lagi dirasai sehingga ke hari ini.
Akhirnya kebangkitan tersebut diberikan gelaran sebagai ‘Arab Spring’ yang mana pada hemat kebanyakkan pakar geopolitik dunia terutamanya dari Asia Barat, ia adalah kebangkitan warga Asia Barat dan Afrika Utara yang berasa tertekan, jemu, tidak puas hati dan bangkit melawan pemerintah negara masing-masing yang memerintah dengan zalim.
Namun tidak semuanya yang berpandangan sedemikian kerana terdapat ramai juga strategis dan pakar geopolitik dunia berpendapat bahawa Arab Spring hanyalah satu ‘Camouflage’ atau tindakan terselindung akibat operatif yang dijalankan oleh kuasa-kuasa besar dunia untuk menguatkan pengaruh dan cengkaman geopolitik mereka terhadap negara-negara Asia Barat dan Afrika Utara.
Dengan mengambil peluang ketidakpuashatian warga Asia Barat dan Afika Utara terhadap pemimpin mereka, kuasa-kuasa besar dunia menjalankan operatif tersebut dengan begitu licik sekali sehingga pada awalnya ia tidak dikesan langsung pembabitan mereka yang menjadi perancang utama kebangkitan terbabit.
Ketika itu kebanyyakkan negara-negara di Asia Barat dan Afrika Utara boleh dikatakan tidak mesra dengan kuasa-kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat dan negara-negara utama Eropah serta dalam masa yang sama negara haram Israel masih lagi berdepan dengan ancaman daripada majoriti negara-negara Asia Barat dan Afrika Utara yang boleh dikategorikan sebagai mengancam keselamatan negara haram Israel.
Selain itu juga, komoditi minyak dan gas yang menjadi komoditi utama perdagangan dunia dimana negara-negara di Asia Barat dan Afrika Utara dikatakan mempunyai proven oil reserve atau mempunyai rizab minyak mentah dan gas sebanyak 61 peratus daripada keseluruhan rizab minyak mentah dan gas di seluruh dunia turut menjadi antara penyebab utama operatif tersebut dijalankan.
Akibat daripada itu, telah berlakulah regime change manoeuvring atau pelan penukaran pemerintahan dengan membangkitkan sentimen kebangkitan rakyat melawan pemerintah yang akhirnya berlakulah demonstrasi, kekacauan dan rusuhan dengan menjalankan operatif ‘Arab Spring’ di mana akhirnya ia sebenarnya telah melakukan kerosakan besar samada untuk jangka masa pendek atau panjang sebagaimana yang kita lihat sehingga ke hari ini.
Hakikatnya, kehidupan rakyat di negara-negara terbabit masih lagi sama keadaannya, tidak berubah malah ada di kalangan rakyat di negara-negara tersebut mengalami keadaan atau berdepan dengan situasi yang lebih buruk daripada sebelum berlakunya Arab Spring.
Dari satu sudut, Arab Spring berjaya mencapai kehendak dan agenda kuasa-kuasa besar yang menjalankannya iaitu untuk menukar regim atau pemerintah yang tidak mengikut kehendak dan naratif geoplitik mereka tetapi dari sudut kebaikan dan manfaat kepada rakyat kebanyakkan sebagaimana yang dituntut, ia langsung tidak mendatangkan kesan kerana agenda asalnya bukan bertujuan untuk menjaga kebajikan dan kesejahteraan warga Asia Barat dan Afrika Utara tetapi menguatkan pengaruh dan cengakaman geopolitik ke atas negara-negara Asia Barat dan Afrika Utara.
Benar, mungkin terdapat sesetengah regim atau pemerintah di Asia Barat dan Afrika Utara perlu ditukar atau dihukum kerana kezaliman dan kekejaman yang dilakukannya namun terdapat pelbagai lagi kaedah dan cara yang boleh dilakukan untuk menghentikan atau menukar pemerintah terbabit tetapi bukan dengan menjemput dan membenarkan kuasa asing mencampuri urusan dalaman negara terbabit kerana kehendak dan agenda rakyat dengan kuasa asing atau kuasa besar terbabit ternyata amat berbeza.
Kita lihat hari ini apa yang berlaku di Libya, Iraq, dan Yaman di mana asalnya daripada satu revolusi, negara tersebut menjadi medan perang yang tidak nampak jalan penyudahnya. Negara tersebut hancur, sistem pemerintahannya rosak, rakyat dalam keadaan sengsara dan ekonominya hampir musnah.
Negara-negara lain di Asia Barat yang turut dilanda ‘Arab Spring’ walaupun tidak mengalami keadaan sebegitu teruk tetapi turut menerima tempias dan akibatnya seperti berlaku kekerapan bertukarnya pemerintah, keadaan dalam negara selalunya tidak stabil, politiknya huru hara, ekonominya tidak menjanjikan kehidupan yang lebih baik, inflasi yang tinggi dan pelbagai lagi keadaan yang menyukarkan rakyat.
Semua keadaan di atas dijelaskan secara terperinci ketika berlakunya Arab Spring di Asia Barat dalam satu artikel yang diterbitkan oleh The New York Times tulisan Ron Nixon pada 14 April 2011 yang secara jelas menyebut bahawa terdapat sekumpulan operatif daripada Amerika Syarikat memainkan peranan besar dalam membangkitkan Arab Spring di Asia Barat dan Afrika Utara.
International Republican Institute, National Democratic Institute dan Freedom House antara yang disebut dalam artikel tersebut memainkan peranan besar dalam mencetuskan kebangkitan warga Asia Barat dan Afrika Utara sehingga berlakunya Arab Spring di mana organisasi-organisasi tersebut mendapat dana daripada National Endowment For Democracy, sebuah pertubuhan yang dikatakan kononnya mempromosikan dan menyokong demokrasi di seluruh dunia serta menolak ‘authoritarian‘.
Walaupun tidak diperincikan dalam artikel tersebut bagaimana organisasi terbabit menjalankan agenda mereka yang dikatakan mempromosikan demokrasi, ternyata dijelaskan dalam artikel terbabit banyak pemerintah di Asia Barat dan Afrika Utara ketika itu tidak senang dengan operatif yang dijalankan oleh organisasi-organisasi terbabit. Namun yang pastinya, diakui bahawa organisasi – organisasi tersebut memainkan peranan besar dalam membangkitkan Arab Spring.
Professor Paul Stevens dari Chatham House, sebuah think tank polisi luar dunia yang berpengkalan di Britain di mana beliau adalah pakar tenaga dan geostrategis berkaitan industri minyak dan gas serta Asia Barat turut menyatakan dalam laporan terbitannya bertajuk ‘The Arab Uprising and the International Oil Market tentang kepentingan kebangkitan Arab Spring dan manfaat yang bakal diperolehi oleh sektor minyak dan gas antarabangsa terutamanya negara kuasa besar dunia akibat daripada kebangkitan tersebut.
Ternyata selain daripada manfaat cengkaman geopolitik yang bakal diperolehi, industri minyak dan gas turut memainkan peranan penting dalam mencorakkan Arab Spring di mana kepentingan dan manfaat ekonomi turut diambil kira setelah melabur berbillion dollar untuk mencetuskan kebangkitan tersebut.
Hasilnya adalah seperti yang kita lihat hari ini, keadaaannya tidak berubah buat warga Asia Barat dan Afrika Utara. Yang ada hanyalah kesengsaraan, kegawatan, kesukaran dalam menempuh kehidupan seharian serta masa depan yang tidak menentu. Yang mendapat keuntungan dan manfaat adalah pencetus kekalutan dan pemerintah yang menjadi boneka kepada kuasa-kuasa besar tersebut.
Hari ini keadaan di Asia Barat dan negara-negara di Utara Afrika sudah tidak lagi menjadi penting seperti ketika berlakunya Arab Spring dahulu. Semuanya sudah berada dalam gengaman dan tunduk kepada pencetus kebangkitan Arab Spring. Asia Barat sudah lagi tidak menjadi agenda utama kepada kuasa-kuasa besar dunia kerana ancaman dan kepentingan mereka telah berubah.
Saat ini tumpuan adalah di Asia Pasifik atau lebih tepat lagi di Asia Tenggara dan Laut China Selatan. Tentera kuasa-kuasa besar dunia termasuk Amerika Syarikat telah mengundurkan tentera mereka dari Arab Saudi, Syria, Iraq dan terbaharu di Afghanistan. Saat ini kuasa-kuasa besar dunia mendapati bahawa China adalah ancaman terbesar mereka samada dari sudut ekonomi, kekuasaan geopolitik mahupun ketenteraan.
Kapal-kapal perang negara kuasa-kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat, Britain, Perancis dan Jerman mula kelihatan berlegar di Laut China Selatan dan Asia Pasifik. Latihan ketenteraan mula kelihatan dijalankan samada dengan negara-negara di Asia Pasifik atau negara-negara di Asia Tenggara ataupun sesama mereka di kalangan kuasa besar dunia.
Sebagaimana Arab Spring, telah mula kelihatan kekacauan dan kebangkitan berlaku di beberapa buah wilayah dan negara sama ada di Asia Pasifik dan di Asia Tenggara. Bermula dengan Hong Kong dan Myanmar, kita dapat lihat kekacauan telah mula merebak ke Thailand dan beberapa buah negara lagi di mana semuanya kelihatan hampir sama dengan apa yang berlaku ketika Arab Spring walaupun momentumnya agak perlahan dan memakan masa berbanding kepantasan kebangkitan Arab Spring.
Kita juga boleh mencongak aliran negara-negara yang sedang dilanda kekacauan terbabit, adakah seiring dengan aliran geopolitik kuasa-kuasa besar dunia atau seterunya. Walaupun terdapat beberapa negara yang kita tidak setuju dengan pemerintahannya tetapi untuk mencampuri urusan negara terbabit secara langsung dan bukan secara diplomasi apatah lagi untuk menimbulkan kekacauan, ia bukan kaedah yang terbaik untuk menyelesaikan sesuatu permasalahan.
Selain daripada itu, bibit-bibit kekacauan sudah mula kelihatan di hampir kebanyakkan negara samada di Asia Pasifik dan Asia Tenggara. Kehangatan pertembungan Amerika Syarikat dan China telah mula jelas kelihatan di mana ia mampu menjadi ancaman besar untuk kesejahteraan dan kemakmuran negara-negara di Asia Tenggara secara amnya di mana Laut China Selatan dijadikan alasan utama untuk pertembungan tersebut.
Taiwan kini seolah-olah menjadi mangsa utama akibat pertembungan tersebut di mana ia seolah-olah terhimpit dan akhirnya mungkin akan menjadi mangsa keadaan. Jika dibiarkan, Asia Pasifik atau secara spesifiknya Asia Tenggara termasuk negara kita akan mengharungi masa depan yang kelam dan mungkin terjerumus sebagai mangsa keadaan akibat pertembungan ini.
Sekarang kelihatan seolah-olah negara kuasa-kuasa besar ini sedang mencari kawan dan mengenalpasti lawan di rantau ini. Apabila jelas kelihatan lawan dan kawan, berkemungkinan kawan akan menjadi tapak melancarkan pertembungan dan lawan akan menerima akibat samada ditekan dan dicetuskan ketidakstabilan sebagaimana yang berlaku ketika Arab Spring dahulu.
Namun sebelum pergi lebih jauh, kita wajar menolak sebarang campurtangan asing dalam mencorak masa depan negara walau untuk mana-mana pihak sekalipun. Sama ada secara langsung atau tidak, ia wajar dihalang dan ditolak kerana ia mampu menjejaskan keharmonian dan kestabilan negara samada untuk jangka masa pendek mahupun untuk jangka masa panjang.
Walaupun berlaku kekalutan dari segi politik di dalam negara saat ini, ia masih mampu diselesaikan secara baik dengan berpaksikan sistem demokrasi dan perlembagaan yang ada di dalam negara dengan berpegang bahawa segalanya adalah untuk keutamaan dan kesejahteraan rakyat jelata.
Dengan apa yang berlaku di sekeliling kita saat ini, wajar kita mengambil sikap berhati-hati dalam menempuh dan mencorak masa depan negara. Kita tidak mahu apa yang berlaku di Asia Barat dan Afrika Utara ketika berlakunya Arab Spring terjadi di negara kita mahupun di negara-negara lain di Asia Tenggara kerana kita akan turut merasai juga kesannya kelak.
Namun persamaan tanda-tanda awal seperti Arab Spring telah mula jelas kelihatan di rantau Asia Pasifik atau Asia Tenggara secara khususnya. Kita tidak mahu negara kita hancur dan terjerumus ke lembah kekacauan sebagaimana yang berlaku di Asia Barat kerana kesannya adalah amat buruk untuk semua pihak.
Kita tidak mahu berlakunya pula ‘Asia Pasifik Spring’ di rantau ini di mana ia akan menjejaskan segala ekosistem yang baik yang telah wujud di rantau ini sejak sekian lama. Kewujudan ‘Asia Pasifik Spring’ juga akan menjahanamkan masa depan rantau ini dan negara samada untuk jangka masa pendek atau panjang.
Sama-sama kita berdoa agar negara kita selamat daripada campurtangan asing serta mampu mengharungi keadaan genting saat ini dimana sedang berlakunya penularan wabak pandemik Covid-19.
Adalah penting untuk kita menyokong usaha kerajaan dalam menghalang penularan wabak pandemik ini dengan memberikan kerjasama sepenuhnya seperti mematuhi segala arahan dan larangan yang telah diberikan. Semoga Malaysia bebas dari Covid-19 serta mampu bangkit semula untuk menjadi lebih baik, maju dan makmur di masa akan datang.
Islam Memperkukuh Perpaduan.
YB USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat.
ADUN Batu Buruk. – HARAKAHDAILY 8/7/2021
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!