Vaksinasi 40 peratus bilangan kes baru kurang relevan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Berdasarkan sains dan data menunjukkan bilangan kes baharu Covid-19 menjadi kurang relevan setelah kadar vaksinasi mencapai 40 peratus.

Ini kerana kebanyakan kes adalah tidak bergejala atau bergejala ringan yakni bagi kategori 1 dan 2.

Menteri Kewangan Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Perlis sudah menepati kesemua nilai ambang sebelum ini untuk beralih ke Fasa 3.

- Advertisement -

Bagi Sarawak pula katanya, kadar vaksinasi mencapai kadar 63.7 peratus penduduk dewasa, melepasi nilai ambang bagi Fasa 4 untuk indikator terbabit (60 peratus).

“Dengan peningkatan vaksinasi di negeri tersebut, bilangan kes di ICU telah menurun dengan ketara ke tahap 29 peratus.

“Begitu juga dengan Labuan di mana kadar vaksinasi mencecah 80 peratus penduduk dewasa. Ini menyumbang kepada pengurangan pesakit di wad ICU sehingga ke tahap 20 peratus,” katanya pada kenyataan di laman sosialnya semalam.

Kaedah nilai ambang kes harian sekarang digantikan dengan kadar kemasukan hospital bagi peralihan ke Fasa 3 dan 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Alhamdulillah selaras dengan perubahan nilai ambang untuk peralihan dari Fasa 2 ke Fasa 3, Perlis, Sarawak dan Labuan telah memenuhi nilai ambang yang ditetapkan dan berjaya melangkah ke Fasa 3,” ujarnya.

Manakala nilai ambang baharu ditetapkan kerajaan iaitu peralihan Fasa 2 ke Fasa 3 iaitu kadar kemasukan hospital sebanyak 3 kes per 100,000 penduduk.

Peralihan Fasa 3 ke Fasa 4 pula kadar kemasukan hospital sebanyak 1.3 kes per 100,000 penduduk. Selain itu indikator kadar vaksinasi serta kadar penggunaan ICU masih dikekalkan. – HARAKAHDAILY 6/8/2021

- Advertisement -