Tidak bertanggungjawab kepada rakyat jika tinggalkan kerajaan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menganggap bahawa pihaknya akan menjadi pihak tidak bertanggungjawab sekiranya mereka meninggalkan kerajaan secara tergesa-gesa seperti yang dikehendaki oleh parti.

Menurutnya, sebagai wakil rakyat yang bertanggungjawab serta menggalas tugas menyelesaikan krisis kesihatan dan ekonomi akibat pandemik Covid-19, beliau merasakan tindakan itu seolah-olah tidak bertanggungjawab.

- Advertisement -

“Jadi, kita sebagai ahli parti yang setia kepada parti, yang mana objektif parti dan objektif kita sebagai wakil rakyat adalah untuk berkhidmat kepada rakyat, menarik diri serta merta dan menumbangkan kerajaan, lari daripada tanggungjawab kita yang diamanahkan rakyat merupakan satu tindakan tidak bertanggungjawab.

“Jadi kita tidak mahu menjadi pemimpin yang tidak bertanggungjawab, dalam keadaan rakyat susah, kita lari daripada medan perang ini.

“Jadi kita akan terus menyokong berdasarkan titah Yang di-Pertuan Agong untuk kita terus kekal bersama kerajaan sehingga keabsahan kerajaan ini ditentukan di dalam Parlimen nanti.

“Insya-Allah di dalam Parlimen, kita akan buat keputusan apabila sampai masanya,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bera ketika berucap dalam sidang media ahli-ahli Parlimen Umno di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, di sini hari ini. Turut bercakap dalam sidang media itu ialah Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan.

Naib Presiden Umno itu menambah, tumpuan pihaknya bersama 31 ahli Parlimen Umno yang lain adalah mereka akan terus membantu kerajaan menyelesaikan isu disebabkan pandemik Covid-19 dan membabitkan rakyat yang terjejas dan terkesan akibat daripada wabak itu. – HARAKAHDAILY 6/8/2021

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -