Jangan ada pihak dabik dada jadi juara

- Advertisement -

Oleh ZULKEFLI HUSSIN

PASIR PUTEH:
Dalam situasi sekarang jangan ada mana-mana pihak cuba mendabik dada untuk menjadi juara sebaliknya ambil yang jernih buang yang keruh.

Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat Dato’ Dr Nik Muhamad Zawawi Salleh berkata, dalam situasi politik sekarang PAS tetap memainkan peranan untuk bertindak sebagai pendamai.

- Advertisement -

Katanya parti itu tetap akan terus berusaha untuk menjadi pendamai bagi menyelesaikan kemelut termasuk antara Umno dan Bersatu dalam gagasan Perikatan Nasional (PN).

“Perkara itu sudah menjadi salah satu antara prinsip perjuangan utama PAS iaitu bersatu kita teguh dan bercerai kita roboh.

“Prinsip itu tiada siapa yang boleh menafikannya dan orang ramai perlu menyokongnya demi untuk perpaduan Melayu dan Islam,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan makanan kepada penduduk di Tok Bali hari ini.

Bantuan itu melibatkan penduduk di Perumahan Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara dan perumahan Ketua Jajahan Pasir Puteh.

Bantuan makanan tersebut diagih kepada 150 rumah penduduk di kawasan berkenaan membabitkan peruntukan hampir RM10,000.

Turut hadiri Adun Semerak Wan Hassan Wan Ibrahim.

Dr Nik Zawawi yang juga ahli parlimen Pasir Puteh berkata, sebelum ini PAS pernah membawa pemimpin kedua belah pihak ke meja rundingan dan hasilnya positif.

“Isu itu bukan mudah kerana ia sudah menjadi satu isu besar namun PAS yakin pertelingkahan itu pada akhirnya dapat diselesaikan,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/8/2021

- Advertisement -