Ekonomi digital mampu rancak komersial perniagaan PKS

- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pengusaha Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) perlu memanfaatkan penggunaan ekonomi digital demi kelangsungan serta untuk mengkomersialkan perniagaan mereka pada masa akan datang.

Pakar Ekonomi, Prof Madya Dr Anuar Shah Bali Mohamed berkata, PKS perlu segera beralih kepada perniagaan secara atas talian untuk terus bertahan dalam situasi semasa ekonomi negara berikutan kesan daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang menghadkan perniagaan secara fizikal dilakukan.

Menurutnya, hasil tinjauan lapangan juga mendapati terdapat kecenderungan kesan positif bagi pemilik PKS yang beralih perniagaan kepada ekonomi digital.

Katanya yang juga Profesor Madya Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), dengan bantuan yang diberikan kerajaan, PKS sedikit sebanyak mampu bertahan, namun kebergantungan ini perlu disulami dengan usaha dan kreativiti itu sendiri.

“Mana-mana PKS yang belum beralih perniagaan mereka secara online, perlu segera beralih kepada perniagaan secara online itu sendiri untuk perolehi pendapatan yang positif dan juga dapat mengimbangi kesan daripada PKP 3.0 itu sendiri,” ujarnya dalam satu Biz Malaysia bertajuk Fokus Biz: Survival PKS yang bersiaran langsung di RTM, hari ini.

Berhubung inisiatif kerajaan kepada PKS katanya, kerajaan telah memperkenalkan Shop Malaysia Online menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan kesan daripada program tersebut telah membantu lebih daripada 200,000 usahawan meningkatkan hasil jualan mereka melalui platform e-dagang.

“Ini menunjukkan dengan jelas apabila berlaku peralihan perniagaan secara online atau e-dagang itu sendiri, ia meningkatkan hasil penjualan mereka dengan nilai transaksi mencecah rm1.8 bilion,” katanya.

Dalam pada itu katanya, kerajaan meneruskan usaha itu melalui Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMLUIH) dengan membangunkan program Pemerkasa Pendigitalan Usahawan Kecil (PUPUK) sebagai inisiatif menyeluruh dan bersetuju memperuntukkan RM200 juta untuk projek ini dan RM100 juta untuk PKS itu sendiri.

Tambahnya, kerajaan juga meneruskan kempen Shop Malaysia Online dan Go-eCommerce Oboarding dengan sasaran lebih 300,000 peniaga mikro seperti peniaga bazar, pasar tani, pasar malam, warung dan sebagainya untuk turut serta beralih kepada perniagaan secara atas talian dan juga menggunakan sistem e-tunai itu sendiri.

Selain itu, kerajaan juga melaksanakan program perintis iaitu Program Prihatin Kasih melibatkan 300,000 isi rumah miskin di seluruh negara.

“Mereka akan memperoleh RM100 sebulan untuk bulan Julai, Ogos dan September. Program Prihatin Kasih ini melibatkan lebih daripada 300 rantaian pasar raya dan kedai di seluruh negara termasuk Mydin, Giant, Econsave, The Store Pacific dan sebagainya yang mana pelaksanaan ini juga menggunakan kaedah tanpa tunai.

“Sebanyak RM100 yang diperuntukkan oleh kerajaan adalah tanpa tunai atau cashless untuk bulan tersebut, ini adalah satu usaha untuk membantu rakyat Malaysia dan PKS itu sendiri agar dapat memperoleh manfaat daripada pengkreditan RM100 sebulan kepada isi rumah miskin di seluruh negara,” jelas beliau.

Sehubungan itu, beliau berpandangan bahawa kerajaan boleh meneruskan usaha tersebut dengan mengkreditkan RM100 setiap bulan kepada semua penerima B40 atau sebahagian M40 untuk mereka berbelanja.

“Bukan sahaja berbelanja barang keperluan harian di kedai runcit dan sebagainya, bahkan juga ia boleh diperluaskan untuk melibatkan pengusaha kedai makan, restoran, penjaja kecil makanan, warung, gerai termasuk perkhidmatan penghantaran makanan untuk turut serta dalam program ini.

“Ia secara tidak langsung melalui konsep e-tunai atau e-dompet itu sendiri dapat menggalakkan lebih ramai pengusaha tersebut untuk mendaftar e-wallet atau e-dompet untuk merancakkan ekonomi digital itu sendiri,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/8/2021

- Advertisement -