JAM Pulau Pinang bantu urus jenazah Covid-19

Foto hiasan.
- Advertisement -

Oleh WAHYU FATIAH

- Advertisement -

KEPALA BATAS: Jabatan Amal Malaysia (JAM) Pulau Pinang membentuk pasukan khas untuk membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menguruskan jenazah mangsa Covid-19 di negeri itu.

Penasihatnya, Mohd Yusni Mat Piah berkata, usaha itu digiatkan berikutan peningkatan angka kematian akibat Covid-19 yang semakin meningkat sehingga pihak hospital terpaksa menangguhkan pengebumian jenazah.

“Peningkatan angka kematian dalam negara yang telah mencecah lebih 200 sehari telah menyebabkan kekurangan ambulan, pasukan pengurusan jenazah dan segala kelengkapan sehinggakan ada jenazah yang lambat disempurnakan dan terpaksa disimpan buat beberapa hari.

“Jadi, Jabatan Amal Negeri (JAM) Pulau Pinang telah mengambil langkah membentuk satu pasukan pengurusan jenazah Covid-19 untuk membantu Kementerian Kesihatan Malaysia menguruskan jenazah, ” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui HarakahDaily selepas selesai membantu menyempurnakan urusan pengebumian jenazah Covid-19 di Tanah Perkuburan Permatang Bendahari, Penaga, di sini, hari ini.

Dari kiri Norazman Ishak, (tengah) Mohd Yusni, dan (kanan) Baharin Ahmad.

Tambahnya, misi tersebut telah pun berjalan selama dua hari bermula semalam di daerah Seberang Perai Utara bertempat di Permatang Tok Gelam, Teluk Air Tawar, semalam.

Katanya, usaha itu juga turut dilebarkan oleh JAM negeri lain. Malah, anggota JAM yang terlibat dalam pengurusan jenazah Covid-19 juga telah diberi penerangan mengenai prosedur pengurusan pengebumian jenazah Covid-19 terlebih dahulu.

“Apabila angka kematian semakin mencanak, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Seberang Perai Utara (SPU) tidak cukup tenaga bagi menguruskan jenazah Covid-19.

“Pasukan pengurusan jenazah Covid-19 Jabatan Amal ini juga telah pun mula tumbuh di beberapa negeri lain.

“Dengan slogan ‘Beramal Kerana Allah’, semut merah ini akan sentiasa tangkas bersedia berkhidmat bagi membantu pihak kerajaan menguruskan wabak Covid-19,” ujarnya.

Turut serta sukarelawan pengurusan pengebumian jenazah Covid-19 hari ini adalah Ketua Pengarah JAM Pulau Pinang, Norazman Ishak dan Pengarah JAM Pulau Pinang, Baharin Ahmad. – HARAKAHDAILY 5/8/2021

- Advertisement -