Himpunan yang mengundang mudarat

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

PERHIMPUNAN
bantahan sekitar Dataran Merdeka di ibu negara, Sabtu lalu bukan perkara baharu di negara ini.

Kawasan itu sudah lama menjadi tumpuan pelbagai pihak bukan saja untuk menyuarakan agenda politik, malah untuk kegiatan lain seperti sukan dan sosial.

Bagaimanapun, faktor kesesuaian masa menyebabkan pelbagai pihak mempertikaikan penganjuran perhimpunan itu.

- Advertisement -

Ketika angka kes baharu penyakit Covid-19 melonjak melebihi 17,000 kes sehari, ramai pihak hanya mampu menggeleng kepala melihat kehadiran peserta dengan penjarakan fizikal yang meragukan.

Bagi Naib Presiden Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik), Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar, tindakan berhimpun ketika ini tidak wajar kerana boleh meningkatkan risiko jangkitan Covid-19.

Katanya, individu terbabit sepatutnya berganding bahu bagi memastikan statistik jangkitan wabak itu kembali menurun dan bukan sebaliknya.

Malah, katanya perhimpunan itu menyebabkan pelbagai pihak lain seperti anggota polis yang ditugaskan untuk memantau keadaan di situ terdedah kepada risiko jangkitan.

Lebih membimbangkan ialah keadaan jangkitan Covid-19 terkini bukan lagi biasa-biasa berikutan kemunculan variant of concern (VOC), terutama varian Delta yang turut menyebabkan perhimpunan bantahan itu berisiko menjadi punca penyebarannya.

Mengikut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, kajian klinikal di luar negara serta Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang melaporkan bahawa kes yang dijangkiti varian Delta mempunyai kandungan virus yang 1,200 kali lebih tinggi, berbanding varian biasa (non-VOC).

Walaupun peserta perhimpunan itu memakai topeng penutup hidung dan mulut, senario bantahan itu memperlihatkan penjarakan fizikal sukar dipatuhi sepenuhnya.

Persoalannya dalam keadaan kes Covid-19 yang terus meningkat, selepas kemunculan satu demi satu kluster, adakah kita mahukan satu lagi kluster muncul semata-mata mahu menyuarakan agenda politik.

Kasihanilah petugas barisan hadapan seperti doktor dan jururawat di hospital yang tidak menang tangan untuk menangani peningkatan mereka yang positif Covid-19.

Gambar dan video dalam media sosial menggambarkan petugas kesihatan terlalu penat hingga berbaring di lantai untuk berehat sepatutnya menginsafkan rakyat Malaysia supaya membantu mengurangkan kes jangkitan penyakit ini.

Caranya cukup mudah, patuhilah saranan Kementerian Kesihatan dan mematuhi prosedur standard operasi (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Bagi umat Islam, berdoa dan bermunajat sangat penting supaya penularan Covid-19 dapat dibendung. Bukan hanya di masjid dan surau, malah perlu dilakukan oleh setiap keluarga di rumah masing-masing.

Setiap penyakit ada ubatnya. Selepas menerima vaksin dan melakukan ikhtiar sewajarnya, kita berdoa supaya wabak itu dapat dibasmi dan rakyat Malaysia mendapat rahmat serta perlindungan Allah.

Dari segi undang-undang, biarlah polis menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya mengikut proses undang-undang. 

Iniu kerana mengikut Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, dalam tempoh fasa perintah kawalan di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) tidak dibenarkan himpunan di mana-mana walaupun untuk tujuan sosial, sukan atau keagamaan mengikut Peraturan 10, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pelan Pemulihan Negara) 2021.

“Walaupun perhimpunan aman, ia jelas melanggar peraturan terbabit dan sebab itu kita akan ambil tindakan susulan. Kalau hantar notis untuk berhimpun pun tiada guna sebab ia memang tidak dibenarkan, kita juga siasat himpunan ini mengikut Akta 342,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/8/2021

- Advertisement -