Petugas barisan hadapan dapat bubur lambuk

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

ARAU:
Bagi menghargai jasa petugas barisan hadapan di negeri ini, Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK) PAS Kawasan Arau, mengedarkan bubur lambuk kepada mereka, kelmarin.

Ahli Jawatankuasa (AJK) LKK PAS Kawasan Arau, Ustaz Ailyas Abd Rahman, berkata idea menyediakan juadah berkenaan tercetus setelah melihat pengorbanan besar petugas barisan hadapan membantu kerajaan mengekang penularan wabak Covid-19 di negeri ini.

- Advertisement -

“Ada pihak yang hanya pandai berkata kerajaan gagal, tetapi mereka langsung tidak melakukan apa-apa untuk membantu menyelesaikan masalah yang ada pada hari ini.

“Sebaliknya, PAS sentiasa memahami bahawa tugas mengekang penularan wabak ini bukan sesuatu yang mudah. Oleh itu, peranan serta pengorbanan petugas barisan hadapan membantu pihak kerajaan amat tinggi dan sama sekali tidak terbalas.

“Justeru, sumbangan yang sedikit daripada kami adalah sebagai tanda penghargaan terhadap apa yang telah mereka lakukan demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat,” katanya ketika ditemui di sini.

Antara penerima bubur lambuk berkenaan ialah petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Wawasan 2020 dan Hospital Tuanku Fauziah (HTF).

Bubur lambuk turut diberikan kepada anggota polis di empat Sekatan Jalan Raya (SJR), iaitu di Pauh, Jelempok, Kodiang dan Sanglang.

Sementara itu di Simpang Empat, diadakan program Kongsi Rezeki Dun Simpang Empat anjuran Pertubuhan Komuniti Prihatin Simpang Ampat (PRISA).

Sebanyak 90 keluarga menerima bantuan dalam bentuk barangan keperluan asas yang disampaikan oleh Pengerusi PRISA, Razali Saad.

Menurut Razali, bantuan berkenaan adalah hasil sumbangan orang ramai kepada pertubuhan itu.

“Alhamdulillah, hari ini, sebanyak 90 keluarga telah kita santuni dan sampaikan bantuan bagi meringankan beban perbelanjaan mereka,” katanya ketika ditemui di sini.

Beliau berkata, PRISA akan terus menggerakkan program begini supaya lebih ramai penduduk yang memerlukan bantuan dapat dibantu. – HARAKAHDAILY 2/8/2021

- Advertisement -