Guna akal bangkit perangi Covid-19

- Advertisement -

Oleh YUSMAN AWANG

MISI
negara untuk mencapai kadar imuniti kelompok vaksinasi dalam kalangan populasi penduduk agar mencecah jumlah 40 peratus menjelang 8 Ogos 2021, nampaknya sedang berada di landasan yang betul.

Ini kerana sejak dimulakan pada 25 Februari 2021, kadar vaksinasi harian di Malaysia telah menunjukkan kemajuan yang agak memberangsangkan apabila jumlah pemberian dos pertama dan kedua vaksin Covid-19 kini sudah diterima oleh lebih 21 juta orang atau mencecah 25 peratus populasi negara.

Menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-18 (JKJAV), sehingga 11.59 malam 1 Ogos, 2021 seramai 21,200,473 penduduk Malaysia sudah menerima dos pertama dan kedua vaksin.

- Advertisement -

Perkembangan tersebut dijangka mampu menepati sasaran kerajaan agar Malaysia sukses dalam mencapai imuniti kelompok sebanyak 80 peratus populasi menjelang 10 September 2021.

Ia dilihat selari dengan misi Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) yang menganggarkan 60 hingga 70 peratus populasi dunia perlu mempunyai daya tahan terhadap Covid-19 bagi membolehkan imuniti kelompok dapat dicapai dan penularan Covid-19 dapat dicegah.

Justeru, sekiranya ingin melihat negara bebas daripada penularan Covid-19 dan mahu kembali hidup normal, rakyat mestilah mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan.

Tanpa kerjasama erat antara rakyat dan kerajaan, misi mengejar kadar kelompok imunisasi vaksinasi tidak akan tercapai.

Janganlah mudah terpengaruh dengan dakyah negatif yang kerajaan gagal dalam menangani penularan Covid-19.

Rakyat perlu berpandangan ke depan dan bijak membuat penilaian sendiri agar misi kerajaan untuk rakyat itu berjaya dicapai.

Jangan bertindak ikut perasaan dan emosi seperti tindakan melulu golongan ratusan individu berpakaian hitam yang baru-baru ini berkumpul di luar Masjid Jamek Kuala Lumpur sebelum berarak ke Dataran Merdeka bagi tunjuk perasaan #Lawan.

Tindakan golongan yang membawa kain rentang dan plakad tertera perkataan “Kerajaan Gagal” dan berteriak “Tolak Muhyiddin”, “Letak Jawatan” dan “Bangkit Rakyat” itu jelas sekali menunjukkan mereka diamuk emosi yang menggila.

Sedangkan mereka seolah sudah hilang kesedaran dalam diri masing-masing bahawa SOP yang telah ditetapkan kerajaan perlu dijaga bagi mengelakkan lagi penularan Covid-19 yang semakin berbahaya khususnya dengan kemunculan varian Delta.

Selagi membiarkan diri disaluti emosi sebegitu, selagi itulah misi kerajaan untuk rakyat agar negara bebas seratus peratus daripada penularan Covid-19 tidak akan tercapai.

Jangan ingat ada rakyat yang dianaktirikan kerajaan dari segi pemberian vaksin ini.

Buktinya bagi golongan tercicir dan belum mendapat temu janji masing-masing selepas 17 Julai 2021, kerajaan sudah memulakan inisiatif vaksinasi walk-in atau tanpa temu janji bermula 2 Ogos 2021 di beberapa pusat pemberian vaksin (PPV) terpilih di Lembah Klang.

Inilah masanya untuk rakyat bangkit dalam erti kata sebenar dengan memberikan kerjasama dengan kerajaan dalam misi mengejar kelompok imuniti vaksinasi sebagai usaha jitu bagi memerangi penularan Covid-19 di negara ini.

Dalam pada kita berusaha itu, jangan pula lupa hakikat bahawa sebagai orang Islam, kita hanya mampu berusaha dan segala keputusan atau hasilnya kelak ditentukan oleh kehendak Allah.

Iringi usaha kita itu dengan sentiasa mendekatkan diri dan berdoa hanya kepada Allah.

Agar kita sebagai hamba Allah yang diberikan keizinan-Nya menjalani kehidupan di dunia yang dipinjamkan-Nya ini sentiasa direstui dan dirahmati pada masa depan. Insya-Allah. – HARAKAHDAILY 2/8/2021

- Advertisement -