Oleh HAIKAL MOHD NOH
IPOH: Keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang lalu bukan sahaja memberi impak kejatuhan sebuah kerajaan, tetapi isyarat jelas yang harus diambil berat oleh PAS.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad berkata, walaupun kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak dilihat sempurna, namun ia tidak sesekali mengancam nilai Islam.
“Kerajaan PN walaupun dilabel (oleh) pihak pembangkang sebuah kerajaan yang gagal, sekurang-kurangnya ia tetap tidak menyerang dan menjatuhkan nilai Islam.
“Berbeza dengan Pakatan Harapan (PH), mereka sudah terbukti sebagai kerajaan gagal dan pentadbiran selama 22 bulan mereka (telah) membawa banyak kerosakan dan berani menyerang nilai-nilai Islam,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam program Konvensyen Penerangan dan Media Baharu PAS Perak yang diadakan secara atas talian, semalam.
Tegasnya, ahli PAS juga mesti bertindak sebagai ejen penerangan.
“Ahli PAS mesti bertindak sebagai ejen penerangan parti untuk menggerakkan naratif-naratif yang dimulakan oleh PAS sama ada diperingkat parti mahupun kerajaan.
“Kalau kita gagal menjadi ejen penerangan ini, maka gagal (lah) juga kita dalam misi menyampaikan maklumat-maklumat kepada rakyat awam,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 1/8/2021