PM rakam perhargaan kepada warga ATM, PDRM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merakamkan penghargaan yang tidak terhingga kepada setiap warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas khidmat bakti yang dicurahkan dalam menjaga keamanan dan kedaulatan negara sempena Hari Pahlawan, hari ini.

Katanya, sumbangan serta khidmat bakti warga ATM dan PDRM, khususnya mereka yang bertugas di barisan hadapan ketika negara berdepan penularan wabak Covid-19 tidak ternilai harganya.

“Dalam kita memerangi pandemik Covid-19, para pahlawan di barisan hadapan keselamatan ini telah membuktikan kesungguhan mereka dalam mempertaruhkan nyawa demi melindungi rakyat Malaysia, sehingga ada di antara mereka turut dijangkiti dan kehilangan nyawa,” ujarnya menerusi laman Facebook beliau, hari ini.

- Advertisement -

Tambahnya, daripada mengawal sempadan negara kepada sekatan jalanraya, daripada memastikan SOP dipatuhi kepada membantu golongan yang terkesan dengan agihan bakul makanan, daripada membantu menggerak program vaksinasi kepada merawat pesakit COVID-19 yang terjangkiti, para wira dan wirawati barisan hadapan ini sentiasa sederap bersama-sama pahlawan barisan hadapan kesihatan dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat dan negara.

“Kepada mereka yang masih dalam tugasan, terima kasih saya ucapkan. Semoga anda semua diberi kesihatan dan dilindungi daripada segala bahaya serta kemudaratan,” katanya lagi.

Beliau berkata, buat ahli keluarga perwira negara yang terkorban semasa bertugas, jasa dan pengorbanan mereka tentunya tidak akan disia-siakan.

“Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh. Tentunya pengorbanan mereka akan terus dikenang sepanjang zaman,” ujarnya.

Muhyiddin menambah, segala jerit perih, komitmen serta pengorbanan para pahlawan dan perwira negara, sama ada dahulu atau sekarang adalah demi mempertahankan keamanan, kemakmuran dan kedaulatan negara.

“Semoga khidmat bakti dan pengorbanan mereka disanjung tinggi dan diberkati. Insya-Allah,” katanya. – HARAKAHDAILY 31/7/2021

- Advertisement -