Olimpik: Aaron Chia-Wooi Yik raih pingat pertama buat negara

Foto daripada Facebook Majlis Sukan Negara Malaysia.

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berjaya menghadiahkan pingat pertama kepada negara apabila mengalahkan pasangan Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan pada aksi Sukan Olimpik Tokyo 2020, sebentar tadi.

Advertisement

Mereka mengambil masa 52 minit untuk menumpaskan gandingan Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 17-21, 21-17 dan 21-14 bagi meraih pingat gangsa di gelanggang Musashino Forest Sport Plaza, lapor olympics.com.

Pada aksi peringkat kumpulan, Aaron-Wooi Yik tumpas kepada beregu di ranking kedua itu, 16-21, 19-21.

Sebelum ini, pasangan muda negara itu berjaya menewaskan gandingan nombor satu dunia dari Indonesia, Kevin Sanjaya Sukamuljo-Marcus Fernaldi Gideon 21-14, 21-17 pada aksi suku akhir.

Bagaimanapun, Aaron-Wooi Yik yang berada di ranking kesembilan dunia terpaksa akur kepada pasangan di ranking keenam dunia dari China Li Jun Hui-Liu Yu Chen pada aksi separuh akhir 22-24, 13-21. – HARAKAHDAILY 31/7/2021