Pembangkang jangan permainkan perasaan rakyat

Mohammad Tawfik Yaakub
- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menamatkan segera sidang Mesyuarat Khas Parlimen adalah lebih baik daripada diteruskan sekiranya sering terdapat gangguan daripada ahli parlimen pembangkang, kata Penganalisis Politik, Dr Mohammad Tawfik Yaakub.

Menurutnya, tindakan ahli parlimen pembangkang yang menjadikan platform Parlimen untuk mengganggu tugas kerajaan yang bertungkus lumus menjaga kebajikan rakyat mampu merencatkan usaha berkenaan.

“Lebih baik ahli-ahli parlimen hari ini memfokuskan tugas mereka membantu rakyat di kawasan masing masing.

“Agenda rakyat lebih penting hari ini, jangan jadikan platform ini untuk menyebabkan politik negara kucar-kacir,” ujarnya.

Katanya yang juga Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Politik dan Pentadbiran, Universiti Malaya, mesyuarat khas kali ini telah tersasar daripada matlamat asalnya yang perlu membincangkan isu-isu rakyat serta krisis kesihatan di negara ini.

“Malah sungguh mengecewakan apabila sikap biadap, tidak menghormati kemuliaan dewan dalam kalangan ahli ahli parlimen pembangkang yang masih berterusan.

“Ini menunjukkan ahli-ahli parlimen pembangkang masih tidak lagi mengerti akan tujuan asal penganjuran mesyuarat khas iaitu untuk mengangkat kepentingan rakyat, rakyat tengah susah dan bergelut dengan kehidupan ketika pandemik,” ujarnya kepada HarakahDaily, hari ini.

Jelasnya, segala tindakan yang dilakukan ahli-ahli Parlimen sedang dinilai dan diperhatikan rakyat.

“Rakyat akan menghukum ahli ahli parlimen berkenaan dalam pru 15, rakyat matang dan cerdik dengan perkembangan politik negara.

“Jangan permainkan perasaan rakyat yang sedang sukar dengan kehidupan mereka,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 29/7/2021

- Advertisement -