Kesihatan: Belanjawan 2022 perlu peruntukan lebih besar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berharap Belanjawan 2022 akan menyediakan peruntukan lebih besar kepada sektor kesihatan agar isu yang negara terpaksa pikul hari ini dapat ditangani dengan sewajarnya.

Katanya, dalam Belanjawan 2022 kerajaan perlu memperuntukkan jumlah yang sewajarnya untuk menaik taraf infrastruktur dan perkhidmatan kesihatan setaraf dengan keperluan umum masa ini.

“Ini akan menjadi justifikasi keperluan perkhidmatan kesihatan yang lebih besar untuk diisi perjawatan oleh ramai penjawat kontrak untnk jawatan tetap nanti,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

- Advertisement -

Beliau yang juga Adun Sijangkang turut menyorot peruntukan dalam Belanjawan kepada sektor kesihatan sebelum ini yang perlu ditingkatkan.

Menurutnya, di dalam Belanjawan negara, peruntukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ialah RM15.35 bilion pada 2010 berbanding RM30.6 bilion pada 2020.

Katanya, lonjakan 99.3 peratus atau RM15 bilion dalam tempoh 10 tahun itu adalah cerminan terhadap tekad kerajaan ke arah usaha mengukuhkan aspek perkhidmatan kesihatan awam demi manfaat segenap lapisan masyarakat.

Bagi tahun 2021, ujarnya KKM diberi peruntukan RM31.94 bilion berbanding Belanjawan keseluruhan RM322.5 billion dan ia mencukupi untuk menampung keperluan semasa, tidak melebihi 10 peratus daripada belanjawan tahunan.

Tambahnya, tuntutan doktor kontrak yang berhimpun di seluruh negara semalam adalah untuk jaminan pelantikan tetap bagi doktor kontrak dan baharu, hak gaji serta kebajikan sama rata dengan doktor tetap, termasuk cuti dan faedah.

Beliau berkata, kerajaan telah bersetuju melanjutkan pelantikan secara kontrak pegawai perubatan dan pegawai pergigian untuk tempoh maksimum empat tahun ke atas.

Ini, jelas beliau termasuk mereka yang diterima bekerja mengikut pengajian kepakaran dalam tempoh dua tahun pertama kontrak masing-masing.

Katanya, pelanjutan itu adalah bagi memberi tempoh kepada pindaan dilaksanakan terhadap Akta Pencen 1980, supaya jawatan tetap boleh digajikan dengan pilihan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), tanpa pencen dan cadangan penambahbaikan perkhidmatan daripada KKM untuk diputuskan oleh kerajaan.

Secara umumnya, kata beliau perkhidmatan kesihatan di Malaysia masih jauh dari yang diharapkan.

“Kerajaan disarankan untuk meningkatkan dan menaiktarafkan lagi prasarana dan perkhidmatannya terutama di kawasan luar bandar, hospital, pusat kesihatan dan klinik desa agar perkhidmatan kesihatan kita mencapai perkhidmatan yang terbaik,” katanya.

Beliau menambah, dengan penambahbaikan dan naik taraf perkhidmatan perubatan dan kesihatan secara tidak langsung akan meningkatkan keperluan perjawatan kepakaran dan doktor, farmasi dan paramedik.

“Ini juga akan memastikan perkhidmatan kesihatan di negara kita berada di tahap yang terbaik apatah lagi untuk menangani krisis kesihatan seperti pandemik Covid-19 pada masa akan datang,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 27/7/2021

- Advertisement -