Wakil rakyat pembangkang perlu ‘belajar’ hormati majlis

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Wakil rakyat pembangkang terutama daripada DAP perlu ‘belajar’ menghormati majlis dan tidak bersikap kurang sopan terhadap pemimpin negara, kata Pengerusi Biro Agama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Shabudin Yahaya.

- Advertisement -

Dalam kenyataan malam tadi, beliau mendakwa beberapa wakil rakyat DAP mengganggu serta menjerit ketika Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin membacakan al-Fatihah kepada semua mangsa Covid-19 pada sidang khas Parlimen, semalam.

Shabudin berkata tindakan itu menunjukkan sikap sebenar pemimpin DAP berkenaan kerana mereka terus menjerit tanpa menghiraukan Perdana Menteri.

“Mereka langsung tak menghormati Perdana Menteri yang menyeru agar semua ahli Dewan (Dewan Rakyat) bertafakur serta membaca al-Fatihah kepada mangsa Covid-19. Inilah perangai sebenar pemimpin DAP yang tak tahu nak hormati majlis,” katanya.

Menurut Shabudin, Muhyiddin menyampaikan ucapan takziah kepada semua ahli keluarga mangsa Covid-19 ketika memulakan ucapannya pada sidang khas Parlimen semalam, sebelum  berlakunya kekecohan.

“Saya amat kesal dengan tindakan wakil rakyat DAP ini dan menggesa mereka memohon maaf kepada Perdana Menteri serta seluruh rakyat Malaysia. Tindakan mereka ini amat keterlaluan dan memalukan serta tidak boleh dibiarkan berlarutan,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -