Bersambung Bab 3: Langkah kedua – Menjadi calon PhD yang efektif

- Advertisement -

Baca tesis terbaik

Saya pernah menyentuh pengalaman saya semasa tahun pertama pengajian PhD di mana saya telah menghabiskan masa yang banyak di perpustakaan SOAS dan IALS membaca tesis PhD lulusan undang-undang di bawah University of London. Saya memilih tesis yang diselia oleh penyelia saya terlebih dahulu. Ini penting untuk melihat gaya dan kehendak penyelia saya supaya apabila saya menulis tesis saya ia akan mengikut ‘rentak’ penyelia saya. Begitu juga, saya akan memilih tesis yang terbaik yang dikatakan tidak ada pembetulan atau pembetulan kecil (minor corrections). Ini supaya saya dapat belajar teknik dan cara mereka yang cemerlang menulis tesis. Kita boleh mengenalpasti mutu sesuatu tesis itu apabila kita membacanya. 
Pembacaan tesis yang cemerlang akan membawa persiapan diri dan minda supaya menyontohi tesis tersebut. Malangnya, terdapat ramai calon PhD yang tidak pernah membaca tesis PhD orang lain. Ia satu kesilapan dan kerugian besar. Akibatnya, calon tersebut akan menghadapi masalah dalam menulis tesis. Lagi banyak membaca tesis orang lain terutama dalam bidang yang sama sangat membantu calon dalam mempelajari selok belok penulisan tesis PhD. Saya telah melihat ramai calon yang lulus dengan cemerlang kerana mereka telah menghabiskan masa di awal tahun pertama pengajian membaca sebanyak mungkin tesis di perpustakaan. Kini, kemudahan ini boleh didapati melalui internet. Banyak universiti luar negara membenarkan pembaca mengakses talian perpustakaan mereka untuk membaca tesis yang dalam rekod simpanan di perpustakaan mereka. Cuma amalan di sesetengah universiti di Malaysia, hanya sebahagian kandungan tesis sahaja yang dibenarkan untuk dibaca melalui talian. Tetapi kalau hendak membaca keseluruhan tesis, lazimnya boleh memohon kebenaran merujuk tesis tersebut dalam perpustakaan sahaja.

- Advertisement -

Ambil contoh seperti Datuk Dr Daud Bakar yang mendapat kejayaan lulus dengan cemerlang tesis PhDnya dalam tempoh 3 tahun 1 bulan. Beliau telah menghabiskan masa yang begitu banyak di awal tahun pengajian dengan menghabiskan pembacaan tesis orang lain di perpustakaan. Malah beliau sanggup pergi ke beberapa universiti lain seperti di Oxford dan SOAS walaupun beliau belajar di University of St. Andrews di Scotland semata-mata mahu membaca tesis dan rujukan lain.

Naik taraf MPhil ke PhD (UK)

Lazimnya pengajian PhD di UK didaftarkan sebagai MPhil bagi tahun pertama. Tetapi terdapat juga calon yang masih di tahap pengajian MPhil walaupun telah tamat tahun kedua dan memasuki tahun ketiga pengajian. Adalah menjadi kebiasaan selepas tahun pertama pengajian, penilaian akan dibuat oleh satu jawatankuasa yang terdiri daripada penyelia dan penilai bagi membuat pengesahan bahawa kajian tersebut mencapai tahap dan mutu PhD. Bagi calon yang telah tamat tahun kedua pengajian tetapi masih belum diangkat taraf ke PhD, kemungkinan syarat yang dikenakan dan tahap serta mutu kajian masih belum mencapai kehendak yang dikehendaki. Seperti yang saya telah berkongsi sebelum ini, naik taraf (upgrading) dari MPhil ke PhD di Jabatan Undang-undang SOAS mensyaratkan penyelesaian dua bab penting (tidak termasuk bab pendahuluan) dan pembentangan naik taraf dari MPhil ke PhD dibuat di hadapan calon PhD lain dan dinilai oleh jawatankuasa penilai yang terdiri daripada dua penilai dan penyelia. Pembentangan mestilah disusuli dengan soal jawab dan komen oleh jawatankuasa dan calon PhD yang hadir. Ia seolah-olah seperti berada dalam proses viva.

Bagi yang berjaya, pengajian mereka akan dinaiktaraf ke PhD dan dikuatkuasakan kebelakangan (backdated) dari tarikh pendaftaran pengajian. Sekiranya, jawatankuasa mendapati bahawa mutu dan tahap kajian tidak sampai ke peringkat PhD, calon tersebut hanya akan dianugerah dengan ijazah MPhil. Ini berlaku kepada beberapa calon dari Malaysia. Kepulangan ke tanah air dengan hanya membawa balik ijazah MPhil dianggap gagal memperolehi PhD dan ada implikasi dari segi perjanjian sekiranya calon tersebut menerima pembiayaan biasiswa.

Justeru, semasa di peringkat MPhil, calon hendaklah belajar sendiri bahawa kajian yang dibuat adalah pada tahap dan mutu peringkat PhD. Penyelia lebih maklum akan perkara ini. Kerana itu, panduan dan tunjuk ajar dari penyelia diikuti dengan kebolehan dan kerajinan calon amat penting dalam proses naik taraf MPhil ke PhD. Peranan penyelia hanya membantu calon tetapi calon sendiri yang perlu berusaha membuat kajian yang memenuhi tahap dan mutu PhD. Membaca tesis calon lain yang telah berjaya dengan cemerlang sangat membantu seseorang calon PhD untuk berjaya melangkah ke satu tahap dari MPhil ke PhD dan seterusnya berjaya memperolehi PhD dengan cemerlang.

Betapa pentingnya tahun pertama 

Tahun pertama pengajian PhD adalah tahun getir dan sangat penting. Saya telah bincang sedikit berkenaan tip ini sebelum ini (bab 2.5 dan 2.7). Pengalaman saya dan mereka yang telah berjaya memperolehi PhD menunjukkan bahawa tahun pertama pengajian PhD bukanlah tahun ‘berbulan madu’ (honeymoon) tetapi tahun yang memerlukan kerja keras terutama sekiranya calon tidak berapa mahir dalam bidang kajian. Tahun pertama adalah tahun penentuan sama ada seseorang itu berjaya untuk meneruskan pengajiannya atau tidak. Sekiranya bab pendahuluan tesis selesai pada tahun pertama dan penulisan tesis memasuki bab seterusnya, jangkaan untuk menamatkan pengajian mengikut jadual adalah sangat tinggi dengan syarat tiada permasalah timbul semasa tahun dua dan tiga pengajian sama ada berpunca dari calon sendiri atau penyelia.

Terdapat juga calon yang tidak serasi dengan penyelia. Maka sebelum memasuki tahun kedua pengajian, calon dinasihatkan untuk memohon penukaran penyelia. Penukaran penyelia di tahun akhir pengajian, akan melambatkan lagi tempoh tamat pengajian kerana, setiap penyelia ada ‘style’ masing-masing dan penstrukturan semula rangka tesis serta penambahan sana sini oleh penyelia baru akan memberi kesan besar kepada tesis tersebut.

Pengurusan masa

Untuk menentukan pengajian PhD mengikut jadual antara 3-4 tahun, calon mestilah menguruskan masa dengan baik. Saya telah membincangkan tip ini sedikit sebelum ini (Bab 2.1 dan 2.2). Seeloknya menyediakan jadual pengajian sebelum mendaftarkan diri sebagai calon PhD. Bahkan bahan-bahan literatur dan perbincangan dengan pakar bidang boleh dibuat terlebih dahulu. Ini bagi membantu calon membuat persiapan rapi dari segi rujukan dan bahan terlebih awal. Sekiranya kajian adalah berkaitan dengan negara Malaysia dan tawaran belajar PhD di luar negara seperti di UK, Australia dan USA, persiapan awal ini sangat penting dan dapat mengurangkan masalah semasa pengajian.

Pengalaman saya dalam membuat kajian PhD mengenai undang-undang perbandingan antara Islam, Malaysia dan Antarabangsa, persiapan bahan untuk Malaysia dibuat terlebih awal kerana kemungkinan bahan rujukan yang dikehendaki tidak ada di UK. Malah saya telah menemubual beberapa pakar bidang sama ada dari kalangan akademik dan pengamal undang-undang dalam mauduk kajian yang akan dibuat.

Meskipun begitu, memandangkan kajian saya meliputi semua negeri di Malaysia, saya merancang balik ke Malaysia di tahun dua pengajian. Saya mengambil masa hampir tiga bulan untuk membuat kajian lapangan di Malaysia dengan perbelanjaan sendiri. Pihak penganjur biasiswa dan SOAS tidak mempunyai peruntukan bagi maksud ini. Saya masih ingat menjelajah seluruh negeri termasuk Sabah dan Sarawak untuk menemubual responden dan mendapat undang-undang terkini mengenai kajian saya. 

Kita merancang Allah yang menentukan. Itu adalah takdir Allah ke atas kita. Perancangan rapi dalam pengajian PhD kadang-kadang diuji dengan pelbagai cabaran. Ada calon yang jatuh sakit (seperti pengalaman saya dalam Bab 2.5), penyelia jatuh sakit atau ada kes yang jarang berlaku bila mana penyelia meninggal dunia, penyelia berpindah tempat tugas (seperti pengalaman saya dalam Bab 1), isteri atau salah satu ahli keluarga meninggal dunia, penyelia yang berbeza fikrah sehingga membawa kepada pertukaran penyelia atau tempat pengajian dan halangan lain.

Meskipun cabaran dan halangan yang kita hadapi dalam tempoh pengajian PhD yang sudah tentu tidak termasuk dalam perancangan jadual pengajian kita, kita mestilah pasrah menerima ujian daripada Allah. Justeru, perlu dirancang jadual baru bagi menamatkan pengajian dengan tempoh yang baru. Kemungkinan ini akan mengambil masa yang lebih dari penjadualan asal 3-4 tahun. Tetapi kita berpuas hati sebab kita telah menguruskan masa yang terbaik dalam jadual pengajian PhD.

Sokongan keluarga dan kawan

“Buat apa engkau nak pi buat PhD (permanent head damage)”? “Engkau belum dapat jawatan tetap, hanya sekadar tutor kontrak”. Ini antara persoalan yang kadang-kadang dikemukakan oleh kawan, sahabat dan keluarga. Bahkan persoalan yang sama pernah ditanya kepada saya semasa saya mengambil keputusan menerima tawaran Skim Tenaga Pengajar Muda – STPM (Young Lecturer Scheme) yang ditawarkan kepada saya pada tahun 1992 di ITM (kini UiTM). Saya masih ingat, saya hadir temuduga pensyarah tetap sebab saya masih dalam skim kontrak sejak masuk kerja di Pusat Pendidikan Persediaan (PPP) (kini INTEC) pada 14 Julai 1990. 

Apabila menerima surat jawatan temuduga pensyarah tetap, lain pula jawapannya. Bukannya ditawarkan pensyarah tetap tetapi STPM yang menawarkan biasiswa SLAB untuk menyambung pengajian peringkat Sarjana. Saya sudah mendapat pelbagai tempat pengajian di UK, Kanada dan Australia. Saya menerima tawaran tersebut tetapi terdapat rakan sekerja saya yang menasihati saya supaya menolak tawaran tersebut dan menunggu temuduga lain untuk jawatan tetap. Saya tidak menyesal dengan keputusan yang saya buat sebab pengajian peringkat Sarjana (LLM) di SOAS hanya memakan masa setahun. Sejurus saya balik pada penghujung bulan Oktober 1993, saya dijemput untuk satu temuduga pensyarah sementara dengan kelayakan semua elaun seperti jawatan tetap pada awal November 1993 dan berjaya (dikatakan hanya formality). Dalam tempoh beberapa bulan pelantikan sebagai pensyarah tetap dikuatkuasakan kebelakangan (backdated) pada 1 November 1993. Pada masa itu, syarat untuk menjadi pensyarah ITM cukup sekadar Ijazah Sarjana Muda.

Melangkah ke alam pengajian PhD yang dianggap satu ‘pertempuran’ untuk mendalami kajian yang lebih tinggi, maka sudah tentulah cabarannya lebih kuat dan hebat. Sokongan dan doa daripada keluarga, sahabat handai dan rakan sekerja sangat penting. Menjadi budaya di Malaysia suatu masa dahulu, apabila anak berjaya melanjutkan pengajian di luar negara dengan pembiayaan biasiswa walaupun di peringkat Sarjana Muda, kenduri kesyukuran dengan jemputan satu kampung menjadi amalan. Bahkan keluarga dan sahabat handai akan mengucapkan selamat jalan di balai berlepas Lapangan Antarabangsa Subang (KLIA, mulai 1998).

Sokongan keluarga, sahabat handai dan rakan sekerja memang jelas nampak bila mana giliran saya berlepas ke London pada tahun 1992 (LLM – bujang) dan 2001 (PhD – berkahwin dengan 2 anak). Mereka sanggup datang ke KLIA untuk mengucapkan selamat jalan dan memberi sokongan moral kepada saya, isteri dan anak-anak. Kenangan ini masih segar dalam ingatan sehingga hari ini dan amat dihargai sehingga akhir hayat.

Dengan sokongan, harapan dan doa merekalah, saya berjaya mendapat kedua-dua Ijazah, LLM dan PhD dalam undang-undang di SOAS, University of London.

Bersambung Teruskan Menulis Walaupun Satu Halaman, Tulis Sahaja, Jangan Hirau Silap Nahu dan sebagainya, Santai Bina Minda, Bentang Kertas Kerja di Seminar Selepas Naik Taraf MPhil-PhD, dan Tulis Artikel Untuk Jurnal Berindeks.

PROFESOR MADYA DR, MOHAMED AZAM MOHAMED ADIL
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif di International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) Malaysia– HARAKAHDAILY 27/7/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/577910208/posts/10159582940360209/

- Advertisement -