Pembangkang kecoh, tidak beradab

- Advertisement -

Oleh NOR HAZWANI NOH

KUALA LUMPUR: Tindakan segelintir Ahli Parlimen pembangkang menimbulkan kekecohan, menjerit, mencemuh dan mengata pemimpin kerajaan pada hari pertama Mesyuarat Khas Dewan Rakyat adalah satu perbuatan tidak beradab dan tidak bertanggungjawab, kata Pensyarah Kanan Universiti Utara Malaysia, Dr Kamarul Zaman Yusoff.

Jelasnya, tindakan mendesak Perdana Menteri meletakkan jawatan, menggelar Speaker Dewan Rakyat anjing suruhan kerajaan juga adalah satu perbuatan tidak beradab.

- Advertisement -

Begitu juga tindakan mengganggu ucapan Ahli-ahli Parlimen kerajaan sehingga menjadikan Dewan Rakyat yang mulia hingar-bingar sehingga lebih teruk daripada pasar.

Perbuatan itu katanya tidak mencerminkan peribadi dan prinsip perjuangan ke arah mendaulatkan masyarakat sivil dan beradab sepertimana yang mereka kerap laung-laungkan.

“Mereka juga tidak menghormati peraturan sidang Dewan Rakyat dengan bercakap sesuka hati tanpa meminta kebenaran Speaker Dewan Rakyat terlebih dahulu menyebabkan komitmen mereka dalam menghormati dan mendaulatkan undang-undang negara boleh dipersoalkan.

“Fokus Ahli-ahli Parlimen daripada parti-parti pembangkang ke atas usaha untuk membolehkan Proklamasi Darurat dan Ordinan-Ordinan Darurat diundi dalam Mesyuarat Khas Dewan Rakyat juga menyerlahkan bahawa tumpuan utama mereka meminta sidang Parlimen dilangsungkan hanyalah untuk membolehkan mereka merebut kuasa.

“Malang sekali bila ruang Parlimen yang sepatutnya digunakan untuk memberi pelbagai idea bagi membolehkan pengawalan wabak Covid-19 dilakukan dengan lebih berkesan atau untuk membela kebajikan rakyat tidak dimanfaatkan untuk tujuan itu oleh Ahli-ahli Parlimen daripada parti-parti pembangkang, tetapi sebaliknya digunakan untuk membawa agenda kepartian,” katanya ketika dihubungi HarakahDaily, hari ini.

Beliau berkata, sepatutnya mereka menjadi pembangkang yang konstruktif yang mengemukakan Pelan Pemulihan Negara mereka sendiri untuk dipertimbangkan oleh pihak kerajaan.

“Jika mereka benar-benar ikhlas mahu memperjuangkan nasib rakyat yang dilanda wabak Covid-19 tetapi amat dikesalkan bila ini tidak berlaku sebaliknya apa yang berlaku adalah sidang ini dijadikan medan melepas geram untuk memburukkan kerajaan sahaja.

“Tidak menghairankan jika selepas Mesyuarat Khas Dewan Rakyat ini berakhir persepsi rakyat ke atas mereka akan lebih jatuh merudum disebabkan tindakan mereka sendiri yang lebih berminat untuk menggunakan emosi dan kurang menyerlahkan kebijaksanaan dalam berhujah selain menunjukkan obsesi untuk menjatuhkan kerajaan semata-mata,” ujarnya lagi.

Beliau berkata demikian ketika diminta menguas mengenai sikap segelintir Ahli Parlimen daripada parti pembangkang yang menimbulkan kekecohan di Dewan Rakyat pada hari Pertama Sidang Khas Dewan Rakyat diadakan, hari ini. – HARAKAHDAILY 26/7/2021

- Advertisement -