KUALA LUMPUR: Kira-kira 50 doktor kontrak melakukan himpunan Hartal Doktor Kontrak di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini, pagi tadi.
Biarpun dinasihatkan oleh pihak atasan namun sekumpulan doktor kontrak terbabit tetap mengadakan protes di tingkat enam, bangunan tempat letak kereta di HKL bermula jam 11.15 pagi tadi.
Rata-rata mereka memegang plakad yang menyatakan mereka adalah ‘Doktor Kontrak’, ‘Pakar Masa Depan’, ‘Tetap Lawan’ dan ‘Nak Tetap Bukan Lanjut Kontrak’.
Bagaimanapun, perhimpunan itu berakhir pada jam 11.22 pagi selepas dileraikan pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur.
Dilaporkan, mereka yang terlibat dalam himpunan Hartal Doktor Kontrak di HKL akan dipanggil memberikan keterangan bagi membantu siasatan menyertai perhimpunan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Sementara itu orang ramai yang ditemui di pekarangan HKL berkata, tidak sepatutnya himpunan tersebut diadakan ketika wabak Covid begitu membimbangkan.
Kata mereka biarpun doktor kontrak menuntut jawatan tetap, namun ia perlu mengambil situasi pandemik yang berlaku sekarang.
“Mengambil kesempatan ketika wabak masih menular saya bimbang boleh memberi gambaran negatif kepada mereka dan bukan lagi simpati orang ramai seperti diharapkan,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/7/2021