Penghulu jejaki penduduk belum dapat vaksinasi

- Advertisement -

Oleh ZULKEFLI HUSSIN

PASIR PUTEH:
Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerak menyasarkan pencapaian imuniti kelompok sebelum berakhir tahun ini menerusi program Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Outreach yang sedang dilaksanakan sekarang.

Adun Semerak Wan Hassan Wan Ibrahim berkata, pada masa ini hampir 50 peratus daripada kira-kira 80,000 penduduk sudah diberi suntikan vaksin dos pertama dan kedua.

- Advertisement -

Katanya ia tidak mustahil dalam tempoh terdekat jumlahnya akan meningkat antara 60 hingga 70 peratus dalam usaha mencapai sasaran 100 peratus.

“Kami sedang berusaha untuk mendaftar mereka yang belum berdaftar menerusi penghulu-penghulu mukim di kawasan masing-masing,” katanya ketika ditemui pada program pemberian PPV Outreach di Pusat Khidmat Dun Semerak hari ini.

Pada program berkenaan hampir 300 warga emas terutama golongan petani dan nelayan dari 10 kampung diberi suntikan dos pertama dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Pasir Puteh.

Kampung-kampung terbabit iaitu Tebing Tinggi, Gong Kulim, Gajah Mati, Pulau Lima, Gong Depu, Gong Kulim Tengah, Gong Pacat, Gong Kubur, Pauh Dara dan Kampung Air Tawar.

Wan Hassan juga berkata, turut dicadangkan diadakan suntikan vaksin dari rumah ke rumah penduduk yang terlantar sakit dan tidak mampu mendapatkan suntikan di pusat-pusat pemberian vaksin (PPV) seperti ditetapkan kerajaan.

Sementara itu, seorang peserta Ab Rashid Ibrahim, 73, dari Kampung Pauh Dara yang mengalami sakit saraf, darah tinggi, kolestrol dan gout bersyukur mendapat suntikan selepas menunggu hampir dua bulan.

Beliau berkata, menerusi suntikan itu beliau merasa lebih selamat daripada jangkitan Covid-19 dan sekaligus dapat meringankan beban yang terpaksa ditanggung memandangkan beliau mengalami banyak penyakit.

Suria Daud, 46, yang mengalami kaki patah dari Kampung Gong Kulim berharap program seumpama itu dapat diteruskan bagi suntikan dos kedua dalam tempoh yang singkat memandangkan ancaman Covid-19 sekarang semakin membimbangkan. – HARAKAHDAILY 25/7/2021

- Advertisement -