Lapan jam pindah dua ekor gajah liar

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

TANAH MERAH:
Dua ekor gajah ditangkap di Kampung Kuala Tiga, Tanah Merah berjaya dipindahkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) ke Taman Negara Terengganu.

Menurut Ketua Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Che Ku Mohd Zamzuri Chik Wan Ab Rahman, pihaknya mengambil masa kira-kira lapan jam untuk memindahkan dua ekor gajah liar yang berkeliaran di Kampung Kuala Tiga, di sini, hari ini.

- Advertisement -

Beliau berkata, dua ekor gajah betina yang berusia lima hingga 15 tahun masing-masing seberat satu hingga dua tan itu berjaya ditangkap di kawasan hutan kampung berkenaan pada Jumaat lalu.

Beliau berkata, proses pemindahan gajah betina itu dibantu dua gajah denak bernama ‘Abot’ dan ‘Rambai’ yang dibawa dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) bagi tujuan ‘memujuk’.

Tambah beliau, pihaknya percaya gajah berkenaan daripada kumpulan gajah liar daripada Hutan Simpan Kampung Air Kerilla yang memasuki kawasan kampung bagi mencari makanan dan selain pada ketika ini juga adalah musim buah-buahan.

Jelasnya selain jalan berbukit, laluan yang licin sepanjang 1.5 kilometer juga antara cabaran terpaksa ditempuhi mereka untuk proses memindahkan gajah pada kali ini.

“Kita mula menarik gajah berkenaan pada jam 9 pagi dan sehingga jam 3 petang jarak lebih kurang 1.5 kilometer.

“Kawasan berkenaan agak berbukit menyebabkan operasi memindahkan gajah berkenaan agak sukar tetapi akhirnya kita berjaya menarik gajah berkenaan ke atas lori,” katanya.

Beliau berkata seramai 36 kekuatan daripada Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah, Terengganu serta Perhilitan Kelantan terlibat dalam operasi berkenaan.

Mengulas lanjut, Che Ku Mohd Zamzuri berkata, pihaknya sentiasa melakukan pemantauan dari semasa ke semasa dan mengambil tindakan segera terhadap aduan berhubung haiwan liar itu yang memasuki kawasan kampung.

Bagaimanapun katanya, bermula awal tahun ini sehingga kini, sebanyak 36 ekor gajah liar di seluruh Semenanjung yang sudah dipindahkan termasuklah lapan ekor dari Kelantan.

Terdahulu, kehadiran gajah yang mengancam dan merosakan tanaman penduduk itu telah meresahkan pekebun. – HARAKAHDAILY 25/7/2021

- Advertisement -