Bantuan PEMULIH turut diagih melalui Umno, Bersatu

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kubang Kerian turut mengagih bantuan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) melalui Umno bahagian dan Bersatu untuk diberi kepada ahli akar umbi.

Ahli Parlimen Kubang Kerian, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sebanyak 6,000 kotak makanan harian diagihkan kepada tiga kawasan Dewan Undangan Negeri di kawasan parlimen berkenaan.

Malah katanya peruntukan tersebut turut diserah melalui Umno dan Bersatu Kubang Kerian untuk diagih kepada rakyat.

- Advertisement -

“Kita agih kepada 6,000 penerima melalui penghulu mukim, Pusat Khidmat Dun atau Parlimen.

“Yang pentingnya kita agih kepada penduduk memerlukan dan kita yakin dengan bantuan berterusan melalui pelbagai pakej kerajaan negeri dan pusat bagi membantu penduduk yang terjejas.

“Kita juga serah sebahagian bantuan kepada Umno dan Bersatu untuk diagih kepada akar umbi parti terbabit,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan 6,000 pek PEMULIHdi Maahad Taqaddum Maarif, Pasir Tumboh hari ini.

Turut hadir Adun Pasir Tumboh Abdul Rahman Yunus, Adun Demit Dato’ Mumtaz Md Nawi dan Adun Salor Saiful Adli Abu Bakar serta penghulu mukim.

Sebanyak 15 lori kategori satu sehingga tiga tan digunakan mengangkut sumbangan itu kepada tiga Pusat Khidmat Dun di kawasan Parlimen Kubang Kerian.

Kerajaan Perikatan Nasional baru-baru ini mengumumkan peruntukan RM300,000 kepada ahli Parlimen termasuk pembangkang untuk melaksanakan bantuan PEMULIH ekoran Perintah Kawalan Pergerakan 3.0.

Menurutnya juga petugas di Pusat Khidmat Ahli Parlimen mengambil masa selama lima hari untuk menyiapkan bungkusan makanan tersebut.

Pek makanan tersebut dihantar kepada penduduk terjejas melalui 53 penghulu mukim di kawasan Kubang Kerian.

“Selain itu 30 pek makanan kita turut peruntukan kepada badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan orang kurang upaya (OKU),” katanya.

Bantuan Khas Covid-19 yang diumumkan kerajaan pada pertengahan Jun lalu pula melibatkan isi rumah kategori miskin tegar, B40 dan M40 serta golongan warga emas.

Ia bakal memberi manfaat kepada lebih 11 juta isi rumah dengan peruntukan sebanyak RM4.6 bilion. Mereka akan menerima bantuan sebanyak RM500 pada Ogos, RM500 (November) dan RM300 (Disember) depan.

Manakala individu bujang dari kategori miskin tegar akan menerima bantuan sebanyak RM200 pada Ogos dan RM300 (November) yang akan disalurkan melalui akaun masing-masing.

Tuan Ibrahim juga berkata, bantuan kewangan yang kerajaan salur melalui akaun di mana ada penerima tidak tahu siapa yang bagi.

“Kerajaan bagi hampir semua hatta orang bujang pun dapat rasai bantuan, semua orang dapat, cuma sumbangan kewangan disalur terus melalui akaun penerima,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 23/7/2021

- Advertisement -