PKPD: Bantuan khas makanan basah mula diagih

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Bantuan khas makanan basah untuk 2,767 keluarga di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Daerah Kuala Muda mula diagih secara berperingkat-peringkat bermula hari ini.

Untuk permulaan sebanyak 1,037 pek mengandungi dua ekor ayam segar setiap satu diedarkan kepada keluarga terbabit di Taman Bandar Baru.

- Advertisement -

Manakala 139 pek lagi kepada penduduk di Taman Cahaya Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) dan Kampung Sireh.

“Pengagihan diurus oleh pihak Pegawai Daerah Kuala Muda, Abdullah Hashim yang diselia oleh penghulu mukim Sungai Petani serta kerjasama Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK).

“Selain itu ia turut dibantu oleh Jawatankuasa Masjid Taman Bandar Baru dan Ketua Lorong di taman perumahan berkenaan,” kata Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor di laman sosialnya hari ini.

Jelasnya lagi, baki 1,591 pek akan diagihkan esok di Taman Bandar Baru dan Lembah Permai.

Semalam, Sanusi mengumumkan sejumlah RM373,545 diperuntukkan sebagai bantuan khas berupa wang tunai dan bahan makanan basah untuk diagihkan kepada 2,767 keluarga yang dikenakan PKPD di daerah itu.

Setiap keluarga terbabit akan menerima RM100 wang tunai berserta makanan basah seperti ayam dua ekor, dua kilogram ikan, sayur-sayuran dan telor sepapan. – HARAKAHDAILY 22/7/2021

- Advertisement -