Ibrah di sebalik Aidiladha, cabaran Covid-19

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia ketika ini menuntut pengorbanan semua pihak sama ada pemimpin mahu pun rakyat.

Justeru, sambutan Hari Raya Aidil Adha yang disambut umat Islam ketika ini wajar diambil pengajaran dalam suasana wabak yang masih menular.

- Advertisement -

Barisan kepimpinan bermula Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin terpaksa melakukan apa sahaja bagi mengurus 32 juta rakyat Malaysia dalam menghadapi cabaran kehidupan sekarang.

Namun perkara itu bukan pelik kerana pada awal kebangkitan Islam, Nabi Muhammad s.a.w juga berhadapan dengan pelbagai ragam manusia.

Ketua Penerangan PAS Kangar, Ustaz Mohd Zahid Ibrahim berkata, baginda ketika remaja dikenali sebagai seorang pengembala kambing.

“Kenapa Allah memilih kambing? Kerana kambing dikenali sebagai haiwan yang degil sudah pasti ada hikmahnya supaya Nabi lebih bersedia berhadapan dengan manusia yang sudah pasti lebih mencabar,” katanya pada program diskusi anjuran Dewan Pemuda PAS Negeri Perlis semalam.

Kesabaran Nabi Muhammad SAW dididik sebagai pengembala kambing menjadi pengajaran awal baginda untuk berhadapan dengan manusia ketika berdakwah.

“Asasnya seperti itulah juga apa yang dihadapi kepimpinan negara hari ini dalam berhadapan dengan 32 juta rakyat Malaysia yang sudah pasti mempunyai pelbagai karenah dalam usaha mengekang wabak Covid-19.

“Kerajaan membuat keputusan yang kadang-kadang ada yang bercanggah dengan kehendak masyarakat, namun apa salahnya rakyat menerima dan menyerahkan urusan sepenuhnya kepada mereka yang ahli.

“Kerana mereka sudah pasti mengambil pandangan pakar dalam bidang yang diperlukan supaya ia selari dengan undang-undang negara kita,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, beliau berkata pandangan segelintir masyarakat atau individu kemungkinan ada kebenaran, namun keputusan yang dibuat pemimpin bukan sahaja melihat dari satu sudut sahaja.

Mohd Zahid juga berkata, sambutan Hari Raya Aidiladha bukan sahaja mengajar ummatnya untuk berkorban menerusi ibadah korban.

Malah kata beliau ibadah haji juga mendidik jiwa umat Islam agar sentiasa bersatu padu sebagai asas kekuatan ummah.

“Pengorbanan sekarang dilakukan seluruh petugas barisan hadapan negara termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia, polis, tentera dan Rela usaha mengekang wabak,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 22/7/2021

- Advertisement -