Pertimbang inisiatif cukai minimum global 15 peratus

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Cadangan negara-negara ekonomi termaju dunia untuk mengenakan cukai minimum global sebanyak 15 peratus adalah sesuatu yang perlu dipertimbangkan terutama untuk persekitaran ekonomi digital yang semakin berkembang sekarang.

Timbalan Pengerusi II Lajnah Ekonomi, Hartanah dan Pembangunan Usahawan PAS Pusat, Mazli Noor berkata, inisiatif yang dipelopori oleh negara-negara Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) itu kini telah pun mendapat persetujuan daripada 132 buah negara dunia.

Menurutnya, antara lain cadangan itu menetapkan bahawa cukai global minimum untuk syarikat-syarikat multinasional yang mempunyai pendapatan lebih daripada USD890 juta, adalah pada kadar efektif tidak kurang daripada 15 peratus.

- Advertisement -

Tambahnya, melalui sistem itu cukai akan disalurkan kepada negara-negara di mana syarikat multinasional beroperasi, dan bukan hanya dibayar di negara ibu pejabat syarikat terbabit.

Beliau berkata, pihaknya berpandangan sistem cukai itu adalah amat kondusif terhadap ekonomi Malaysia dan boleh meningkatkan lagi pendapatan negara, terutama di dalam persekitaran ekonomi digital.

“Dalam ulasan kami berkenaan potensi ekonomi digital Malaysia melalui tulisan pada 1 November 2019, kami menekankan penting bagi Malaysia melakukan transformasi terhadap kerangka cukai negara, terutama untuk disesuaikan dengan persekitaran ekonomi digital, yang semakin meningkat sumbangannya kepada ekonomi negara,” ujarnya dalam satu kenyataan.     

Tambahnya, sebagai bandingan Malaysia sekarang mengenakan cukai perkhidmatan digital sebanyak enam peratus.

Namun, katanya cukai itu adalah bersifat cukai penggunaan (consumption tax) dan bukannya cukai pendapatan (income tax).

Menurutunya lagi, cukai perkhidmatan digital ini umumnya akan dipindahkan kepada pengguna.

“Ini secara langsung akan membebankan pengguna. Sebaliknya, pendapatan syarikat teknologi yang menyediakan perkhidmatan tersebut yang beroperasi dalam sistem ekonomi Malaysia, terutama secara maya, tidak dikenakan cukai. Ini merupakan kebocoran hasil kepada negara,” tambahnya.

Sebagai gambaran umum, katanya ekonomi digital Malaysia dianggarkan menjana sebanyak RM270 bilion iaitu bersamaan dengan 18 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP).

“Ini bermakna cukai sektor ekonomi digital adalah amat substantif.  

“Justeru kami mancadangkan agar kerajaan menilai dan sekiranya boleh dilaksanakan, menyertai dan mengesahkan inisiatif cukai minimum global ini bagi membolehkan negara meningkatkan lagi pendapatan melalui mekanisma pencukaian,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 22/7/2021

- Advertisement -